JPJ Periksa 770 Kenderaan Thailand, 814 Saman Dikeluarkan

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah sering melakukan operasi bagi mengekang kemasukan van Thailand ke negara ini yang melanggar peraturan.

Pengarah JPJ Kedah Ahmad Musadad Sulaiman berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini JPJ telah memeriksa 770 kenderaan termasuk van persendirian dan telah mengeluarkan sebanyak 814 saman membabitkan 1,319 kesalahan.

Katanya jumlah ini menunjukkan peningkatan daripada 738 kenderaan yang diperiksa sepanjang tahun lepas.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah membawa lebih muatan, menggunakan cermin gelap dan menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

"Kita akan menyita kenderaan Thailand ini buat sementara waktu dan akan dilepaskan sekiranya mereka membayar kompaun manakala Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) dirampas sekiranya mereka menyalahguna permit untuk mengangkut barang-barang sedangkan ia hanyalah untuk lawtan sosial.

"Kita akan saman mereka dengan dua kesalahan iaitu salahguna ICP RM300 dan tiada insurans RM300," katanya pada sidang akhbar di sini. Ahmad Musadad berkata JPJ akan melakukan penguatkuasaan selepas dua kilometer dari pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai antara Malaysia dan Thailand.

Pada 20 Oktober lalu Persatuan Kereta Sewa/Teksi Changlun menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap van haram dari Thailand yang semakin berani membawa rakyat tempatan dan juga pelancong asing sejak enam tahun lalu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan