Himpun Contoh Perhimpunan Yang Aman - Najib - Berita Semasa | mStar

Himpun Contoh Perhimpunan Yang Aman - Najib

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata acara Himpunan Sejuta Umat (Himpun) bertujuan mempertahankan akidah umat Islam yang berlangsung semalam merupakan contoh penganjuran perhimpunan secara aman seperti yang dihasratkan kerajaan.

Perdana Menteri berkata perhimpunan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu jauh berbeza dengan kekecohan yang timbul sewaktu penganjuran Bersih 2.0 Julai lepas. "Perhimpunan semalam berlangsung secara aman dan terkawal, tidak ada sesiapa pun yang rasa terganggu, tertekan atau tidak selamat. "Itulah hasrat kerajaan apabila kita menawarkan stadium untuk Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan mereka," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Perdana Bersama Perdana Menteri Dengan Pesara Dan Bekas Polis di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Ahad.

Najib berkata perhimpunan secara aman juga mencerminkan hasrat kerajaan dalam membuat pindaan kepada Seksyen 27 Akta Polis, untuk membenarkan perhimpunan diadakan secara aman.

"Kita akan mengkaji apa yang berlaku semalam dan mengkaji norma-norma di negara lain. Pihak Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri sedang meneliti perkara ini dan kita akan merumuskan apa yang terbaik, sesuai dengan amalan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi moden dan progresif," kata Najib.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi mengimbangi antara hak asasi dan kepentingan umum dalam soal keamanan dan ketenteraman awam.

Mengulas satu resolusi perhimpunan itu yang meminta kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini, Najib berkata kuasa mengenai agama tertakluk kepada kerajaan negeri.

"Saya percaya jika perlu akta ini, pihak negeri akan teliti tuntutan yang dibuat dan diberi tindakan sewajarnya," katanya.

Tuntutan itu merupakan antara 10 resolusi yang dicapai pada perhimpunan berkenaan, selain memastikan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama akta yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Mengenai penggantungan tugas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Najib berkata telah timbul salah tanggapan masyarakat berhubung tindakan universiti itu terhadap pensyarahnya.

Beliau berkata berdasarkan penjelasan pihak universiti, Abdul Aziz digantung tugas untuk tujuan siasatan.

"Pihak universiti sedang menjalankan siasatan dan tumpuan untuk dia (Abdul Aziz) menjawab kes. Ini belum melibatkan tindakan disiplin, hanya siasatan untuk tahu apa yang dia maksudkan... jangan buat andaian awal," katanya.

Menjawab pertanyaan lain, Najib menggesa ahli politik supaya tidak membabitkan anggota keluarga dalam dunia politik mereka. "Anda boleh berbahas mengenai perbezaan dasar daripada segi kelemahan pelaksanaan tetapi ketepikan keluarga anda atau mengeksploitasi hal keluarga untuk kepentingan politik sendiri," kata beliau. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan