Apakah Konsert Elton John Akan Terjejas Ekoran Bantahan Pemuda PAS Pahang?

Diterbitkan: Isnin, 24 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Apakah konsert penyanyi popular Elton John pada 22 November depan akan terjejas ekoran tindakan dan keputusan Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) membantah konsert berkenaan diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands kerana disifatkan sebagai tidak sesuai dengan budaya negara ini?

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz, dalam satu kenyataan media telah meminta sama ada Jabatan Agama Islam Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Daerah Bentong atau mana-mana pihak berkuasa, menggembeleng tenaga supaya mencegah konsert itu daripada berlangsung kerana khuatir gejala sosial dan kebejatan moral yang semakin menular pada hari ini akan menjadi bertambah buruk dengan adanya konsert itu kelak.

Ini kerana katanya, walaupun mungkin penyanyi yang berkahwin sesama lelaki itu datang sekadar menghiburkan peminatnya, tetapi mereka bimbang ikon muzik dunia itu akan menjadi ikutan negatif kepada generasi muda kerana mereka adalah pasangan gay.

“Pihak berkuasa kena sedar bahawa budaya hedonisme atau berhibur secara berlebihan dan melampau kian menular, merebak umpama racun berbisa yang semakin menyerang remaja Islam.

“Sedangkan budaya inilah yang lazimnya membawa kepada kerosakan sebuah masyarakat seperti pergaulan bebas, gejala arak, berzina, anak luar nikah dan melekakan mereka terhadap tanggungjawab beragama selama ini.

“Ini ditambah lagi dengan kemunculan pengamal seks sejenis. DPPNP tidak dapat bayangkan bagaimana penerimaan golongan muda apabila pihak berkuasa tidak menyekatnya dari awal,” kata beliau.

Tambahnya lagi, sedangkan akta yang digubal oleh jabatan agama peringkat negeri seperti kesalahan orang Islam memasuki premis judi nombor ekor dan meminum arak di khalayak awam pun gagal ditangani pada masa ini.

“DPPNP memandang setiap perkara yang boleh membawa kemudaratan mestilah disekat lebih awal dengan kuasa yang ada demi kemaslahatan umum dan ini tidak boleh dianggap sebagai tindakan yang menyekat hiburan.

“Jadi pihak penganjur tidak boleh berbangga dengan aktiviti yang mungkin dianggap membawa keuntungan tetapi sebaliknya merosakkan institusi mayarakat dalam jangka panjang,” jelas kenyataan itu lagi.

Elton yang terkenal dengan lagu hits seperti Candle In The Wind, Rocket Man, Levon dan Your Son" telah mendirikan rumah tangga dengan rakan homeseksualnya David Furnish pada 21 Disember 2005, selepas kerajaan Britain membenarkan perkahwinan sejenis dilangsungkan di negara itu.

Anak mereka, Zachary Jackson Levon John, dilahirkan melalui ibu tumpang pada 25 Disember 2010 di California.

Pemenang lima trofi Anugerah Grammy itu bakal beraksi di Arena of Stars Genting Highlands dalam jelajah 'Greatest Hits Tour'.

Pada konsert itu nanti, Elton bakal beraksi bersama-sama kumpulan kugiran yang telah lama bersamanya selain diiringi empat penyanyi latar termasuk Rose Stone (Sly And The Family Stone) selain Lisa Stone, Tata Vega dan Jean Witherspoon.

Dibawakan oleh Tune Live, konsert tersebut dijangka menyaksikan Elton mempersembahkan semua lagu-lagu terbaiknya khusus buat peminat di Malaysia.

Sepanjang 40 tahun penglibatannya dalam arena muzik, lebih 250 juta unit albumnya terjual di seluruh dunia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan