Hanya Sebuah Kedai Di KL Disyaki Campur Daging Kambing, Lembu

Diterbitkan: Ahad, 23 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Pemeriksaan yang dilakukan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ke atas 800 buah pasar raya dan kedai di seluruh negara bagi tempoh tiga hari lepas mendapati hanya sebuah kedai di Kuala Lumpur disyaki mencampurkan daging kambing dan lembu.

"Daging yang dijual di kedai terbabit sudah dihantar sampelnya untuk diperiksa dan jika terbukti daging itu bercampur, tindakan tegas akan diambil ke atas pekedai terbabit," kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencampurkan daging berkenaan bagi meraih keuntungan tanpa memikirkan sensitivi kaum India.

Masyarakat India tidak perlu terlalu bimbang kerana pihak penguatkuasa kementerian akan terus meningkatkan pemeriksaan dari semasa ke semasa, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Deepavali kepada 500 masyarakat India di kawasan Parlimen Bera di Triang di sini, Ahad.

Ismail Sabri yang anggota Parlimen Bera turut memberikan jaminan bahawa bekalan daging kambing dan barangan keperluan lain adalah mencukupi untuk masyarakat India menjelang sambutan Deepavali.

"Setakat ini juga tidak ada sebarang laporan berhubung pelanggaran peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan