Terma, Gaji Pembantu Rumah Indonesia Diputuskan Nov

Diterbitkan: Sabtu, 22 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Malaysia dan Indonesia akan mengadakan rundingan pada 18 dan 19 November depan di Bali berhubung penetapan muktamad terma, termasuk gaji dan faedah-faedah lain, kepada pembantu rumah Indonesia yang diambil bekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, kemungkinan terdapat 'sedikit kenaikan' pada kadar gaji pembantu rumah Indonesia berikutan mereka dibayar gaji sekiranya diperlukan bekerja pada hari cuti rehat mereka.

"Sebagai contoh, pembantu rumah yang menerima gaji RM600 sebulan sekarang, akan menerima RM150 tambahan sekiranya diperlukan oleh majikan untuk bekerja pada hari cuti rehat yang ditetapkan iaitu sehari bagi seminggu, " katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Deapavali di Dewan Hang Tuah di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pertemuan pada 18 dan 19 November itu akan melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, pegawai kementerian kedua-dua negara dan Pasukan Petugas Bersama (JTC) yang ditubuhkan untuk mengendali urusan pengambilan serta penempatan pembantu rumah.

Semalam, sewaktu pertemuan di Mataram, Lombok, Susilo mengumumkan pembantu rumah republik itu dibenarkan dihantar semula ke Malaysia mulai 1 Dis ini, sekaligus menamatkan moratarium lebih dua tahun untuk penghantaran tenaga kerja informal ke Malaysia.

Keputusan mengenai perkara itu diumumkan di akhir mesyuarat delegasi dua hala pada acara perundingan tahunan Malaysia-Indonesia.

Ditanya sama ada satu kadar gaji minimum akan dikenakan, Subramaniam berkata gaji bulanan pembantu rumah Indonesia antara RM500 dan RM600 pada masa kini akan ditetapkan oleh kuasa pasaran di Malaysia.

Perkara itu, katanya sebagaimana termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh beliau dan Menteri Tenaga Kerja dan Imigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar di Bandung pada 30 Mei lepas.

"Kedua-dua pihak iaitu Indonesia sebagai agensi yang membekal tenaga pekerja dan agensi penerima di Malaysia perlu menetapkan kadar yang munasabah," katanya berhubung kos yang dikenakan bagi seorang pembantu rumah Indonesia untuk dibawa masuk ke negara ini.

Beliau berkata, proses pengambilan pembantu rumah sedang dihalusi oleh para pegawai kedua-dua negara supaya pengambilan pembantu rumah itu boleh bermula pada 1 Dis sebagaimana yang diumumkan.

Subramaniam turut ditanya mengenai pendapat beberapa pihak termasuk persatuan dan agensi pembantu rumah di Malaysia yang masih ragu-ragu sama ada pengambilan pembantu rumah itu akan berjalan lancar.

"Kita dah bawa isu ini di peringkat tertinggi (antara Presiden dan Perdana Menteri kedua-dua negara). Kalau keputusan ini tidak boleh dilaksana, saya tak tahu peringkat mana lagi kita boleh laksanakannya," katanya.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah negara itu oleh majikan Malaysia. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan