Rakyat Selangor Makin Sedar Kelemahan Pembangkang - Muhyiddin

Diterbitkan: Sabtu, 22 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DENGKIL: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu berkata beliau sudah melihat "gelombang biru" di Selangor yang menunjukkan keinginan semula rakyat kepada pentadbiran Barisan Nasional (BN). "Gelombang itu sudah nampak berlaku di seluruh Selangor. Ada kesedaran baru kerana mereka tahu mereka sudah bagi peluang kepada pakatan selama tiga tahun, (tapi) banyak masalah berlaku," katanya, merujuk kepada kerajaan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS di Selangor.

Berucap pada majlis Sarapan Pagi 1Malaysia Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata ramai rakyat Selangor merungut tentang ketidakpekaan pimpinan kerajaan negeri dalam memahami naluri dan keinginan serta kebajikan mereka. "Ramai rakyat Selangor termasuk peniaga berjumpa saya dan tanya bila pilihan raya... Mereka kata mereka tidak tahan lagi dengan (kerajaan) pakatan; susah mahu berniaga, susah mahu hidup. 'Bila pilihan raya saya mahu pangkah BN'. Itu kenyataan yang mereka buat," katanya.

Muhyiddin yang turun padang mendekati rakyat merentasi beberapa daerah di Selangor hari ini, berkata berbekalkan pengalaman lebih 50 tahun, BN diyakini mampu membawa Malaysia ke tahap pencapaian lebih tinggi selaras dengan aspirasi rakyat.

Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang rancak melaksanakan pelbagai pelan pembangunan bagi memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan selesa, aman dan sejahtera, sebagaimana ditekankan dalam Belanjawan 2012.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Selangor dilihat tidak mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat, seperti yang berlaku dalam isu pengurusan bekalan air di negeri berkenaan.

"Yang penting bukan soal kerajaan negeri nak berniaga dan mendapat keuntungan; yang penting ialah nasib rakyat kita di Selangor dan Wilayah (Persekutuan), hampir lima juta rakyat akan menanggung kesusahan nanti," kata Muhyiddin pada acara yang dihadiri ribuan penduduk sekitar Dengkil dan Sepang itu.

Beliau menggesa parti komponen BN supaya terus membantu rakyat Selangor dan sekaligus memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM111,000 kepada 37 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan di kawasan Parlimen Sepang serta sumbangan Deepavali kepada 1,300 penduduk.

Peruntukan RM100,000 akan disediakan untuk membaik pulih bangunan sekolah SJKC Dengkil, katanya.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Sepang Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Berucap pada pertemuan dengan warga pendidik sekolah agama di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat di Banting, Muhyiddin berkata mereka perlu mengambil pendekatan baru ke arah melahirkan modal insan berakhlak, kreatif, produktif dan inovatif selaras dengan keperluan Model Baru Ekonomi negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pihaknya sanggup memberi latihan kepada guru agama khususnya dalam kaedah pengajaran terbaru.

"Mungkin sudah berkesan (kaedah pengajaran sekarang) tetapi jika kita tidak mengambil kira teknologi, tak ambil kira persaingan dan masih lagi ambil pendekatan lama, tentu kita takkan menjana sumber manusia yang diperlukan untuk bersaing di peringkat dunia," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ada yang berpendapat tumpuan pembangunan ekonomi negara adalah hanya untuk kehidupan di dunia, tetapi sebenarnya pembangunan dalam konteks Islam mencakupi kehidupan dunia dan akhirat.

"Hendak kata kita berlebih-lebih sangat tidak juga, sebab ia selaras dengan tuntutan fardhu ain untuk diri kita dan fardhu kifayah untuk masyarakat termasuk yang bukan Islam," katanya.

Muhyiddin berkata rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman tanpa peperangan seperti di sesetengah negara lain.

Dengan mengambil Somalia sebagai contoh, beliau berkata sengketa antara puak menyaksikan ramai penduduk terkorban di negara benua Afrika yang sebenarnya kaya dengan galian termasuk minyak itu.

Pada majlis itu, Muhyiddin meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membina sebuah dewan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jugra. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan