SMM Demo Desak UIAM Tarik Balik Gantung Tugas Aziz Bari

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengadakan demonstrasi di perkarangan masjid UIAM sebagai membantah tindakan penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari. -Foto THE STAR oleh: AZMAN GHANI
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengadakan demonstrasi di perkarangan masjid UIAM sebagai membantah tindakan penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari. -Foto THE STAR oleh: AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Persatuan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan menghantar memorandum bantahan bagi mempertahankan kebebasan bersuara pensyarah di negara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata kumpulan berkenaan akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Perdana Menteri yang dijangka mengadakan lawatan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada minggu hadapan.

“Kami dimaklumkan Perdana Menteri akan melawat UIAM minggu hadapan, jadi kami bercadang untuk menyerahkan memorandum ini pada masa tersebut.

“Ini adalah satu masalah yang serius terhadap pakar akademik kita. Mereka sepatutnya diberikan kebebasan serta ruang untuk menyuarakan pendapat dalam isu kritikal serta berdebat mengenainya,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di masjid universiti berkenaan pada Jumaat.

Terdahulu, kumpulan SMM mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di perkarangan masjid UIAM menggesa pihak pentadbiran universiti menarik balik penggantungan tugas yag dikenakan terhadap pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Ahmad Syukri turut memaklumkan bahawa mereka telah menyerahkan memorandum tersebut kepada kakitangan pentadbiran universiti.

Dalam demonstrasi berkenaan empat orang pelajar telah ditahan kerana didakwa menimbulkan kekecohan.

Ahmad Syukri berkata kumpulan berkenaan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya pihak universiti masih gagal menangani masalah tersebut dengan segera.

Pada Rabu, unit undang-undang UIAM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Surat tersebut dikeluarkan ekoran daripada kenyataannya yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini.

Abdul Aziz diberi tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk menjawab surat berkenaan dan sepanjang tempoh tersebut beliau tidak dibenarkan memasuki perkarangan universiti berkenaan tanpa kebenaran dekan.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Aziz sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Ekoran tindakannya itu, beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya dan bekas Ketua Pemuda PKR, Senator Ezam Mohd Nor turut menggesa supaya Abdul Aziz disiasat di bawah Akta Hasutan.

Pada Rabu, pensyarah kanan UIAM itu telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pergi ke pejabat Abdul Aziz Isnin lalu untuk merekodkan kenyataan berhubung isu yang sama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan