Siasatan Kes Ambil Masa Kerana PDRM Guna Pendekatan Rasional - Ismail

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Siasatan sebarang kes jenayah mengambil masa kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan secara rasional iaitu berdasarkan fakta dan sistem perundangan negara.

"Kita tidak boleh bertindak mengikut hawa nafsu," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, ketika diminta mengulas tanggapan orang ramai bahawa polis lambat bertindak terhadap sesuatu aduan.

Ismail juga berkata keengganan masyarakat membantu polis turut menyebabkan kes lambat disiasat.

"Kalau orang ramai tahu (tentang sesuatu kes) tetapi tidak mahu beri kerjasama kepada polis macam mana? Ini yang melambatkan proses siasatan sesuatu kes," katanya.

Beliau yang ditemui selepas Perhimpunan Khas PDRM bagi Memperingati Pejuang Balai Polis Bukit Kepong di sini, juga meminta orang awam agar tidak menyalahkan polis apabila ada saksi enggan bekerjasama. Mengulas perkembangan lain, Ismail berkata PDRM akan mendapatkan peralatan baru yang canggih bagi membantu polis menghadapi ancaman penyalahgunaan teknologi maklumat atau jenayah siber.

Terdahulu, beliau menyeru anggota PDRM agar mencontohi semangat jati diriwira Bukit Kepong yang sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan balai polis itu ketika diserang gerombolan pengganas Komunis pada 23 Februari 1950.

Katanya sifat komited kepada tugas sehingga sanggup mengorbankan nyawa perlu diteruskan oleh anggota polis untuk menghadapi cabaran yang berlainan pada masa ini.

Pada majlis itu Ismail menyampaikan cenderahati kepada waris mangsa serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong serta menyampaikan surat penghargaan kepada 16 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan Batu Pahat di atas kejayaan membanteras sindiket curi barangan telekomunikasi bernilai RM5 juta baru-baru ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan