Pemuda PAS Sokong Himpunan Sejuta Ummah

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemuda PAS akan mencabar pimpinan PAS Selangor yang melarang ahlinya menyertai Himpunan Sejuta Ummah (Himpun) yang diadakan bagi menentang golongan yang cuba memesongkan akidah umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata mereka tidak akan patuh kepada arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertentu parti itu.

“Kita akan menghadiri acara berkenaan, kerana pimpinan tertinggi PAS tidak ada mengeluarkan apa-apa arahan yang melarang ahlinya daripada menyertai acara tersebut sebagai hak individu berkenaan,” katanya sebagai respon kepada pimpinan PAS Selangor yang melarang ahlinya menyertai Himpunan Sejuta Ummah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula pukul 2 hingga 6 petang Sabtu.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak akan menyertai himpunan tersebut.

Bagaimanapun, Hadi tidak mengeluarkan arahan melarang semua ahli PAS daripada menyertai himpunan berkenaa.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata beliau turut menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang mahu Himpun terlibat dalam perbincangan bersama Jawatankuasa Khas Kabinet Antara Agama bagi mengelakkan kebimbangan masyarakat Islam dalam isu murtad.

“Bagaimanapun, perhimpunan tersebut perlu berjalan seperti yang dirancang kerana ia merupakan satu aktiviti untuk memperkuatkan akidah umat Islam.

“Himpun boleh mengemukakan usul untuk mengadakan wacana bersama Jawantakuasa Khas Kabinet Antara Agama,” kata Nasrudin.

Pengerusi Bersama Himpun, Dr Mohd Yusri Mohamad berkata perhimpunan tersebut tidak membabitkan parti politik dan mereka tidak akan membawa logo, kain rentang atau bendera mana-mana parti politik kerana mereka tidak mahu ada kaitan dengan politik.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Pengerusi Dialog Antara Agama Asia Tenggara, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata himpunan tersebut mungkin akan dieksploitasi oleh pihak yang mempunyai kepentingan.

“Dialog antara agama adalah lebih efektif untuk mengatasi masalah murtad di kalangan orang Islam,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan