Pembinaan Muzium Sejarah Balai Bukit Kepong Diteruskan - Ismail Omar

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan rancangan untuk mendirikan Muzium Sejarah Balai Bukit Kepong, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata reka bentuk muzium tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya.

"Setelah mengambil kira reka bentuk, bajet, pembinaan muzium tersebut akan diteruskan di atas tapak asal balai polis tersebut," katanya kepada pemberita, selepas Perhimpunan Khas PDRM untuk mengingati pejuang Balai Polis Bukit Kepong di sini, Jumaat.

Beliau berkata projek itu tertangguh sejak diumumkan 10 tahun lepas berikutan keadaan tapak yang sering dilanda banjir.

Bagaimanapun selepas dipertimbangkan, muzium akan dibina di tapak asal dengan reka bentuk yang sesuai dengan keadaan muka bumi di situ, katanya. Ismail juga yakin dengan kerjasama daripada penderma, pembinaan muzium tersebut akan dapat dipercepatkan.

"Kalau ada penderma-penderma yang hendak membantu, mereka boleh menyalurkan derma sumbangan mereka kepada PDRM," katanya.

PDRM juga katanya, telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengisi kegiatan di muzium tersebutbagi memastikan elemen sejarah dikekalkan sebagai pedoman golongan muda tentang sejarah kemerdekaan negara.

Muzium itu katanya penting sebagai simbol yang memaparkan semangat perjuangan wira PDRM demi agama, bangsa dan negara. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan