MB Perak Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Pengerusi DAP Perak

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PANGKOR: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pada Jumaat, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham kerana memfitnahnya. Katanya, beliau telah memberi peluang kepada Ngeh untuk memohon maaf tetapi tidak diambil peduli.

"Saya telah beri masa 24 jam kepada Ngeh untuk membuat penjelasan dan memohon maaf tetapi dia lakukan sebaliknya. Daripada memohon maaf, Ngeh buat laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM)... Ngeh sedar dia tersepit dan sebagai jalan keluar dia telah menggunakan taktik ini pula," katanya kepada pemberita di sini.

Zambry, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pangkor.

Menteri Besar berkata beliau telah meminta sepasukan peguam untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Ngeh kerana masa yang diberikan kepada Ngeh memohon maaf telah tamat.

Ngeh, yang juga Adun Sitiawan, sebelum ini mendakwa Menteri Besar telah meluluskan tanah seluas 68,503 ekar dan menjual 60,561.75 ekar tanah pertanian atau industri dengan nilai RM375 bagi setiap 0.4 hektar.

Berikutan itu, Zambry telah meminta Ngeh supaya membuat permohonan maaf dalam masa 24 jam, bagaimanapun pada Jumaat Ngeh bertindak membuat laporan di SPRM Perak meminta siasatan dijalankan berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan MIC untuk meletak Presiden parti, Datuk G. Palanivel sebagai calon BN di kawasan Parlimen Sungai Siput.

"Sebagai Presiden baru menggantikan Datuk Seri S. Samy Vellu, ada baiknya beliau bertanding di Sungai Siput tetapi walau apapun keputusan terpulanglah kepada parti itu untuk memutuskannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan