Landasan Baru Hubungan Malaysia-Indonesia Terbina Dalam Perundingan Di Lombok

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MATARAM (LOMBOK): Cuaca panas yang membahang di Kuta, Lombok Tengah, wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia ternyata membawa rahmat tersembunyi ketika dua pemimpin negara sahabat bertemu, pada Khamis.

Kehangatan cuaca itu tidak sedikit pun mengganggu pertemuan mesra antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, sebaliknya banyak hasil positif dicapai dalam rundingan yang menghala ke arah satu tujuan iaitu kemakmuran bersama.

Dengan berpaksi kepada prinsip jelas dan terarah, perundingan tahunan Malaysia-Indonesia di Lombok ini telah menggagas satu rangka kerjasama yang lebih bererti.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang turut menyertai pertemuan peringkat delegasi, melihat perkembangan dalam hubungan rapat kedua-dua pemimpin kerajaan itu sebagai satu saluran baru bagi diplomasi dan perkembangan negara.

"Apa yang saya lihat daripada perjumpaan ini ialah satu semangat baru, yang mana Presiden Indonesia sendiri memberi komitmen yang jelas bahawa beliau akan menjadikan pertemuan ini sebagai satu landasan baru di atas prinsip baru," katanya.

Daripada 42 perkara yang disenaraikan dalam pertemuan Najib dan Yudhoyono itu, didapati bahawa keseluruhan hubungan dua hala itu nampak menjulang naik dalam satu semangat yang baru.

"Dalam keadaan yang dibina pada hari ini (Khamis) di Lombok, kita dapat menganggarkan iaitu di perjumpaan pra sidang kemuncak Asean di Bali nanti sekitar 17 dan 18 November, beberapa keputusan muktamad akan dapat kita lihat.

"Antaranya ialah menjadikan keputusan secara formal perjanjian berkaitan dengan pembantu rumah, dan selian itu dalam perjumpaan hari ini pun, prinsip-prinsip yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, mengasaskan satu rangka kerjasama yang lebih bererti," kata Rais.

Antara bidang yang diberi tumpuan ialah penyelesaian kepada isu sempadan maritim dan sempadan darat, selain kerjasama polis dan tentera, pertukaran budaya dan usaha mengatasi pertindihan komunikasi.

Mengenai kerjasama bidang kebudayaan, pertemuan itu menetapkan bahawa ia dilaksanakan menerusi pengiktirafan penulis dan wartawan di samping meneruskan program-program kerjasama lain dalam memorandum persefahaman tahun 1984 dan Mei 2010.

"Soal pertindihan budaya atau tuntutan asal usul budaya bahawa budaya yang ada di Indonesia, ada di Malaysia dan oleh itu mereka harus mengadakan sesuatu sekatan, tidak timbul dalam pertemuan ini," katanya.

Perdana Menteri semalam menyimpulkan bahawa kata sepakat dalam perundingan kali kelapan di Lombok ini, didasarkan kepada empat prinsip utama.

Yang pertama ialah pengarahan kedua-dua kerajaan yang amat jelas, iaitu segala permasalahan harus dicari penyelesaian secepat mungkin dan objektifnya ialah kemakmuran bersama dan hidup aman damai.

Kedua, ialah beliau dan Yudhoyono ingin sesuatu tempoh masa ditetapkan supaya sebarang cabaran permasalahan itu harus diselesaikan dalam jangka waktu yang tertentu untuk memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Ketiga ialah bahawa apa yang Malaysia dan Indonesia lakukan mestilah berdasarkan kepada prinsip layanan bersamaan, misalnya dalam menghadapi masalah nelayan.

Keempat ialah penyelesaian dalam apa jua isu, walaupun kompleks, ia mesti berdasarkan kepada "situasi menang menang" dalam ertikata bukan saja disenangi oleh kerajaan tetapi juga disenangi oleh rakyat kedua-dua negara.

"Misalnya kita bersetuju sudah ada kemajuan yang positif dalam rundingan persempadanan maritim Laut Sulawesi Selatan kita mengharapkan kemajuan ini dapat diteruskan dan jawatankuasa teknikal diberi pengarahan jelas dengan parameter situasi menang-menang dan boleh diterima oleh kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

"Presiden Yudhoyono dan saya optimis bahawa atas semangat ini dan atas prinsip ini, insyaAllah penyelesaian boleh dicapai melalui perundingan dan sekaligus kita boleh jadikan isu ini sebagai contoh di peringkat dunia bagaimana dua buah negara, walaupun menghadapi isu yang begitu kompleks, dapat mencari kata sepakat dan penyelesaian yang tuntas," kata Najib.

Yudhoyono pula menyifatkan pertemuan semalam sebagai sangat produktif dan berlangsung dalam semangat kekeluargaan sehingga telah menemukan pelbagai penyelesaian bagi sejumlah masalah dua hala selain menemukan peluang-peluang baru untuk kerjasama di masa depan.

"Falsafah yang kami anut dalam meningkatkan persahabatan, kerjasama dan kerjasama bilateral adalah kemajuan bersama, kesejahteraan bersama," katanya.

Presiden Indonesia itu berkata, makanisme kerjasama dua hala dengan menghidup dan mengaktifkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ternyata berkesan dan boleh mengenal pasti hal yang boleh dicari penyelesaian bersama. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan