Draf Rancangan Struktur Putrajaya 2025: Pandangan Orang Awam Dialu-alukan - Berita Semasa | mStar

Draf Rancangan Struktur Putrajaya 2025: Pandangan Orang Awam Dialu-alukan

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Orang ramai dipelawa untuk memberikan pandangan, maklum balas dan cadangan terhadap laporan Draf Rancangan Struktur (RS) Putrajaya 2025 dan Draf Rancangan Tempatan (RT) Presint 12, Putrajaya bagi mencapai wawasan Putrajaya mampan menjelang 2025.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ketika ini pameran mengenai kedua-dua kajian itu sedang berlangsung di Perbadanan Putrajaya (PPj) mulai 19 Oktober sehingga 18 November bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Kajian berkenaan dilakukan supaya segala perancangan dan pembangunan Putrajaya sentiasa tersusun, teratur serta membangun seperti yang digariskan dalam RS Putrajaya serta strategi dan garis panduan pembangunan dalam RT Presint 12, kata beliau.

"Penglibatan pihak awam penting kerana setelah kedua-dua kajian diwartakan, ia akan menjadi satu dokumen perundangan dan semua pelaksanaan pembangunan perlu mengikut polisi dan strategi yang ditetapkan," katanya semasa merasmikan pameran dan publisiti awam Draf RS Putrajaya 2025 dan Draf RT Presint 12, Putrajaya pada Jumaat.

Turut hadir Presiden PPj Tan Sri Samsudin Osman. RS Putrajaya 2025, yang menggantikan RS Putrajaya dan Sebahagian Daerah Sepang 1995, akan memfokuskan kepada bandar hijau selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar Putrajaya dibangunkan sebagai bandar perintis teknologi hijau, manakala RT Presint 12 Putrajaya berhasrat menjadikan kawasan itu sebagai kawasan pembangunan eksklusif dan unik.

Mengenai pembinaan monorel di Putrajaya, Raja Nong Chik berharap ia dapat dilaksanakan apabila sampai masanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan