Dr Abdul Aziz Bari Akan Diminta Beri Penjelasan: UIAM

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan memberi peluang kepada Profesor Dr Abdul Aziz Bari memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Shafaruddin Idris Shah baru-baru ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perhubungan Awam UIAM hari ini, pihak sekretariat lembaga itu akan menilai secara terperinci sama ada kenyataan Abdul Aziz, yang merupakan ahli akademik dan pensyarah universiti berkenaan, bercanggah dengan mana-mana peraturan universiti ataupun sebaliknya.

"Pihak sekretariat sedang mengumpul maklumat lengkap mengenai isu yang dikaitkan dengan Profesor Dr Abdul Aziz Bari," katanya.

Sebuah portal berita baru-baru ini menyiarkan kenyataan Abdul Aziz yang mempertikai tindakan Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja.

Kenyataan itu mendapat kritikan pihak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyifatkan keengganan Abdul Aziz meminta maaf kepada Sultan Selangor sebagai 'kurang ajar'. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan