Wujudkan Pelan Imbangi Pembangunan Sosial, Ekonomi Keluarga - Shahrizat

Diterbitkan: Khamis, 20 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyarankan agar satu pelan diwujudkan untuk mengimbangi pembangunan sosial dan ekonomi 'keluarga komuter'.

Katanya keluarga sedemikian wujud apabila suami atau isteri perlu bekerja berjauhan, yang menimbulkan pelbagai masalah antaranya membahagikan masa antara kerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Justeru katanya, majikan dan kerajaan boleh memainkan peranan dengan mewujudkan lebih banyak prasarana seperti pusat asuhan kanak-kanak bagi membantu ibu bapa terbabit. "Saya mendapati kemudahan prasarana yang sedia ada tidak mencukupi dan pihak majikan masih enggan bekerjasama untuk mewujudkan pusat tersebut bagi meringankan pasangan suami isteri komuter ini," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Keluarga Komuter, di sini, Khamis.

Shahrizat berkata kerajaan dan majikan perlu memberi perhatian kepada masalah ini kerana wanita merupakan penyumbang besar dalam peningkatan ekonomi negara.

"Penglibatan wanita dalam ekonomi negara adalah sebanyak 60 peratus, jadi perhatian daripada semua pihak perlu bagi membantu dari segi kebajikan dan menjamin konsentrasi mereka dalam pekerjaan," katanya.

Seminar sehari anjuran kementerian itu bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara disertai lebih 300 peserta.

Seminar bertujuan mengenal pasti langkah-langkah membantu keluarga komuter dan memperakukan cadangan ke arah pengwujudan rangka kerja dasar dan program yang bersesuaian bagi mengatasi cabaran keluarga komuter. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan