Kerajaan Kelantan Lihat Belum Perlu Sedia Rumah Ibadat Agama Lain Di Pasar Raya

Diterbitkan: Khamis, 20 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Belum ada keperluan bagi kerajaan Kelantan menyediakan rumah ibadat untuk penganut agama lain di pasar raya dan stesen bas sebagaimana untuk orang Islam di negeri itu.

Menjawab soalan Datuk Norzula Mat Diah (BN-Paloh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata buat masa ini keperluan itu belum timbul.

Dalam pada itu katanya, mulai 18 Okt lepas, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kota Baharu telah mengarahkan pihak pengurusan semua pasar raya di bawah seliannya menyediakan imam di surau masing-masing.

Selain itu, kerajaan negeri juga mahu surau uzur di tempat berkenaan dinaik taraf, katanya.

Menjawab satu lagi soalan Norzula, Takiyuddin berkata pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau tahap kebersihan tandas awam seperti di masjid dan stesen bas agar sentiasa dalam keadaan suci dan bersih.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya sentiasa mengadakan program kepada remaja bagi membangunkan sahsiah diri.

"...dan dalam program berkenaan kita dapat lihat ada antara mereka yang menyesal dan insaf," katanya menjawab soalan Norzula yang sebelum itu berkata kerajaan negeri perlu meningkatkan program sedemikian.

"Saya rasa apa yang dilakukan sekarang seperti memberi nasihat sudah tidak bersesuaian lagi dan kalau perlu tahan remaja melepak untuk membanteras gejala tidak baik," kata Norzula. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan