Penarikan Balik Moratorium Jadi Perhatian Di Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MATARAM (LOMBOK): Penentuan mengenai penarikan balik moratorium ke atas pembantu rumah Indonesia ke Malaysia mungkin dapat dipastikan apabila pemimpin kerajaan Malaysia dan Indonesia bertemu dalam perundingan tahunan di sini pada Khamis.

Tidak mustahil juga pengumuman mengenainya dibuat esok, memandangkan langkah menarik balik pembekuan sementara oleh Indonesia telah tertangguh hampir lima bulan setelah kedua-dua pihak menandatangani protokol bagi meminda memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia, di Bandung pada 30 Mei lalu.

Penangguhan itu disebabkan jawatankuasa kerja kedua-dua pihak mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah itu belum memutuskan mekanisme pelaksanaan MoU itu dalam konteks memberi perlindungan kepada pekerja dan majikan.

Indonesia melaksanakan moratorium itu sejak 26 Jun 2009, berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah negara itu oleh majikan di Malaysia, namun pihak berkuasa Malaysia telah bertindak tegas dengan mengheret majikan terbabit ke mahkamah.

Ini adalah antara perkara yang mungkin menarik perhatian apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terbang ke sini esok untuk bertemu sekali lagi dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam rangka acara perundingan tahunan itu.

Pertemuan tahunan itu yang dihoskan secara bergilir-gilir, memberi kesempatan kepada kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan dua hala selain menyelesaikan isu-isu dua hala yang masih mengganggu hubungan.

Perkembangan terakhir mengenai masalah sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak dan Kalimantan Barat, berhubung dakwaan kononnya Malaysia mengambil wilayah Indonesia seluas lebih 1,000 hektar, yang dihangatkan oleh media tempatan, mungkin juga disentuh dalam perundingan itu. Satu lagi isu yang turut menjadi tumpuan ialah mencari penyelesaian terbaik kepada masalah persempadanan kawasan ambang batas laut (ambalat) di perairan Malaysia-Indonesia, setelah 20 pertemuan peringkat pegawai gagal mencapai kata sepakat sebagaimana yang diharapkan oleh pemimpin kedua-dua negara.

Adalah juga menarik untuk mengetahui apakah penyelesaian kepada isu sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang menjadi pertikaian di kawasan lain, di mana pihak berkuasa kelautan dari kedua-dua belah pihak menahan nelayan yang menangkap ikan di kawasan terbabit.

Najib yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor, membawa bersama enam anggota Kabinet dan seorang timbalan menteri dalam pertemuan kali ini dan ia sekaligus memberi peluang kepada mereka bertemu rakan-rakan sejawatan untuk merapatkan lagi pertalian hubungan.

Pada masa yang sama ia juga menyediakan peluang kepada beberapa anggota Kabinet baru Susilo untuk berkenalan secara lebih dekat dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari Malaysia, yang seterusnya diharap dapat menghasilkan momentum baru dalam peningkatan hubungan serta penyelesaian isu-isu dua hala yang tertunggak.

Barisan menteri Malaysia ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diwakili oleh Timbalan Menteri Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan yang ditemui di sini Rabu, berkeyakinan kedua-dua pemimpin kerajaan mampu mencari penyelesaian terbaik dengan memberi panduan dalam usaha merungkai kekusutan terhadap isu-isu dua hala yang masih belum dapat diselesaikan.

"Hubungan bilateral antara Malaysia dan Indonesia tentunya harus terus diperkukuhkan menerusi dasar politik, ekonomi dan pertahanan. Begitu juga hubungan sosial antara rakyat kedua-dua negara amat mustahak untuk memastikan hubungan akrab kedua-dua negara terus terpelihara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan