Najib Yakin Belanjawab 2012 Semarakkan Program Transformasi

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Belanjawan 2012 yang dibentangnya 7 Oktober lepas akan menyemarakkan lagi program transformasi negara yang merangkumi kerajaan, ekonomi dan politik untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Perdana Menteri berkata pembentangan belanjawan itu juga diharap dapat memenuhi sebahagian janjinya kepada rakyat, seperti yang terangkum dalam prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Transformasi yang kita sedang alami ini perlu memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan hanya segelintir kumpulan sahaja. Transformasi ini berpaksikan janji saya kepada anda dan semua Rakyat Malaysia yang disebut pertama kalinya pada April 2009 lalu.

"Pembentangan Belanjawan adalah sebahagian daripada janji ini, dan pada Jumaat 7 Oktober lepas, saya harap sebahagian daripada janji ini telah dipenuhi. Saya telah nyatakan sebelum ini, ianya bukanlah satu penyelesaian yang muktamad tetapi ianya akan menyemarakkan lagi perjalanan Transformasi kita, dan ia terangkum dalam prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya dalam entri terkini blog www.1Malaysia.com.my, pada Rabu.

Menghargai reaksi positif rakyat terhadap Belanjawan 2012, sama ada yang disampaikan melalui blog, Facebook, Twitter (juga secara bersemuka), atau dalam penerbitan dan laman web lain, Najib berkata kerajaan, seperti juga rakyat, mahu memastikan negara terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan berterusan yang dapat dinikmati dalam suasana harmoni. "Saya juga maklum tentang keraguan yang dinyatakan oleh sebahagian dari anda," katanya.

Justeru, kata Perdana Menteri, di dalam Belanjawan itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini.

Ini termasuk bayaran RM500 untuk semua isi rumah di Malaysia dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 atau ke bawah; pembiayaan baru bagi program anti-kemiskinan 1Malaysia KAR1SMA, dengan bantuan kepada warga tua miskin sebanyak RM300 sebulan dan RM100 sebulan kepada kanak-kanak miskin serta membantu golongan OKU.

Yang lain termasuk rangsangan terhadap pembangunan perumahan awam dan swasta bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah; pemansuhan yuran tahunan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucer buku RM200 untuk semua rakyat Malaysia yang sedang menuntut dalam Tingkatan 6 dan di institusi pengajian tinggi seluruh negara, katanya.

Najib berkata, selain menyediakan sokongan kewangan itu, kerajaan juga bertanggungjawab untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran dan keperluan lain yang diperlukan untuk berdikari dan berdiri teguh daripada segi kewangan. "Kita semua tidak akan dapat bergerak maju sekiranya anda hanya bertahan dengan bantuan yang diberikan kerajaan. "Anda perlu mempunyai kebolehan dan kemahiran untuk berdikari dan memperbaiki keadaan kewangan sendiri. Apabila anda mahir dan berkebolehan, barulah kita semua boleh berubah dengan jayanya," katanya.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui Belanjawan 2012 antara lain menyenaraikan pelbagai langkah termasuk pelaksanaan program-program untuk menggalakkan inovasi dalam kalangan belia dan penduduk luar bandar seperti Jejak Inovasi dan C1PTA; dan program latihan untuk anggota tentera bersara tanpa pencen yang layak untuk memulakan perniagaan dan bantuan penempatan pekerjaan.

Turut dicadangkan ialah kemudahan pinjaman mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk menggalakkan lebih ramai wanita memasuki alam perniagaan; dana untuk menggalakkan inovasi dalam kalangan Pengusaha Kecil dan Sederhana dan untuk membantu menggiatkan lagi perniagaan mereka; memperkenalkan MyCreative Venture Capital untuk menyediakan dana bagi idea-idea perniagaan baru dan inovatif daripada belia; dan program latihan kemahiran termasuk Strategic Action Youth 1Malaysia (SAY 1Malaysia) untuk belia yang tidak meneruskan pengajian mereka.

Ketika kerajaan melaksanakan perancangan Belanjawan 2012, beliau menyeru sokongan dan penglibatan aktif seluruh rakyat untuk mula melakukan perubahan dalam kehidupan seharian dan seterusnya manghasilkan pencapaian yang berbeza dan jauh lebih baik bagi generasi Malaysia masa kini dan untuk generasi akan datang. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan