MIC Wujudkan MAINCO Untuk Projek ETP

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MIC telah mewujudkan satu syarikat tujuan khas yang dikenali sebagai MAINCO Bhd bagi meraih banyak manfaat ekonomi dari projek pembangunan yang diumumkan oleh kerajaan bagi komuniti India.

MAINCO, yang telah didaftarkan, akan membida peluang perniagaan di bawah Program Transformasi Ekonomi seperti projek pembangunan My Rapid Transit dan Greater Kuala Lumpur, kata Presiden MIC Datuk G. Palanivel, pada Rabu.

Ia akan turut mengambil alih perniagaan baharu atau membeli syarikat tersenarai.

Bagi mengoperasikan MAINCO dan melaksanakan aktiviti itu, MIC akan meminta sokongan kerajaan di segi pinjaman mudah, kata Palanivel. Beliau juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kami mahu menjadikan MAINCO satu kumpulan perniagaan yang berjaya dan memperkasakan komuniti India," katanya kepada Bernama.

Langkah itu akan turut menyumbang kepada usaha menaikkan komuniti itu ke dalam aliran utama pembangunan ekonomi negara ini daripada sub-aliran sekarang ini.

Katanya MIC juga memohon kerajaan memberikannya 8.0 peratus daripada kontrak awam di negara ini kepada India Malaysia, yang akan membolehkan kontraktor India mendapat margin keuntungan lebih tinggi.

"Jika tidak, jika kontraktor India menggunakan lesen orang lain, margin keuntungannya sangat minimum. Jadi, kita mengkaji pemberian kontrak secara langsung," katanya.

"Kita perlukan masa dan sokongan kerajaan," katanya semasa ditanya bila rancangan itu akan dapat dilaksanakan.

MIC sedang menyediakan kertas projek yang mengandungi kesemua cadangannya mengenai cara bagaimana "kami boleh bekerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta," kata Palanivel.

Presiden MIC itu melahirkan keyakinannya terhadap kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang lebih sensitif dan responsif daripada sebelum pilihan raya 2008.

Respons segera kerajaan dapat dilihat apabila Koperasi Suria yang dicadangkan MIC selepas beliau mengambil alih diwujudkan dengan segera dengan dana RM8 juta bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para peruncit India dan membolehkan para pedagang mengembangkan perniagaan masing-masing.

Tambahan pula, di dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan pada 7 Oktober, katanya kerajaan telah menerima cadangan MIC bagi mendapatkan RM100 juta bagi para usahawan India, terutama sekali wanita di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia.

Jumlah yang sama juga disediakan bagi komuniti Cina.

Katanya MIC juga sedang mengkaji penyertaan India di dalam projek mesra ekologi pada masa depan seperti mengeluarkan minyak dan wangian dari bau-bauan bunga.

"Terdapat permintaan bagi mendapatkan produk mesra alam sekitar sedemikian di Eropah di mana para pengguna bersedia membayar premium," katanya.

Projek tenusu yang termasuk penternakan lembu bagi mengeluarkan susu juga akan dilaksanakan, kata Palanivel.

Terdapat juga rancangan menubuhkan ladang sawit milik India di mana MIC memohon 20,000 hektar tanah dan pembiayaan, katanya.

Beliau mengulangi bahawa MIC mengutamakan memohon pinjaman mudah dari kerajaan berbanding geran bagi mengendalikan rancangan menaikkan status ekonomi komuniti India.

Katanya lebih 30 peratus India Malaysia boleh dikategorikan berada dalam ekonomi berpendapatan rendah, di mana ramai yang tidak mempunyai pendapatan langsung dan sesetengahnya menerima gaji bawah RM500 sebulan, dengan bekerja sebagai pencuci pinggan.

Ini dapat dilihat dari ribuan masyarakat India yang hadir di pusat khidmat Ahad parti itu di seluruh negara, sama ada di kawasan luar bandar atau bandar.

"Kami memerlukan rancangan 10 tahun untuk mengeluarkan komuniti itu daripada keadaan sekarang ini," katanya.

Palanivel berkata ramai masyarakat India telah terpinggir dan ini menyebabkan mereka terlibat dengan keganasan, rompakan dan pembunuhan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan