BN Amalkan Konsep Permuafakatan Dan Bekerja Kuat - Tun Abdullah - Berita Semasa | mStar

BN Amalkan Konsep Permuafakatan Dan Bekerja Kuat - Tun Abdullah

Diterbitkan: Rabu, 19 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Umno dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) akan terus mengamalkan konsep permuafakatan serta bekerja kuat agar mendapat keyakinan rakyat untuk terus memerintah negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata BN kini bekerja lebih bersungguh-sungguh dan telah membuktikan kepada rakyat bahawa hanya gagasan itu sahaja yang mampu membawa pembaharuan serta perubahan kepada rakyat dan negara ini.

Meskipun tidak memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-12, namun ia bukan penghalang kepada kerajaan BN untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan di negara ini, katanya.

Katanya pembaharuan dan transformasi yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi ekonomi, sosial dan perundangan kini diterima rakyat.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Umum Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) Republik Indonesia Mohamad Taufiq Kiemas di pejabatnya di sini, Rabu.

Bekas Pengerusi BN juga berkata BN sentiasa menampilkan pemimpin muda yang berwibawa dan berkarisma bersama barisan pemimpin berpengalaman pada pilihan raya umum sebelum ini, dan akan meneruskan tradisi kepimpinan tersebut pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Dalam Umno dan BN tiap-tiap kali ada pilihan raya, akan ada muka-muka muda. Tidak ada selama-lamanya orang yang lama.

"Begitu juga tak pernah semuanya yang menjadi muda. Kita ada percampuran orang lama yang berpengalaman dan pemimpin muda sejak dulu sampai sekarang," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan