Sharizat Minta Polis Siasat Identiti Bapa Bayi Yang Dibuang - Berita Semasa | mStar

Sharizat Minta Polis Siasat Identiti Bapa Bayi Yang Dibuang

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak polis diminta lebih tegas dan menjalankan siasatan terperinci terhadap kes-kes pembuangan bayi dengan mengenal pasti identiti bapa kepada bayi yang dibuang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata, jika selama ini tumpuan lebih diberikan kepada ibu yang bertindak kejam membuang bayi, sudah sampai masanya bapa atau pihak lelaki juga disiasat dan menerima hukuman.

"Dalam kes ini, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.

"Di mana bapa, lelaki atau pasangan kepada wanita yang menyebabkan perkara ini berlaku," katanya yang ditemui selepas rakaman perutusan Hari Kanak-Kanak 2011 di Taska Permata Timang, Bangunan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, Selasa.

Sharizat berkata, siasatan terhadap lelaki yang dipercayai terbabit dengan isu ini juga dapat membantu membela nasib keluarga wanita.

"Selain ibu, bapa juga perlu bertanggungjawab. Mereka tak boleh dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Walaubagaimanapun, beliau berkata hukuman terhadap ibu yang didapati bersalah bertindak kejam membuang bayinya masih perlu dijalankan mengikut undang-undang.

"Undang-undang tak mengira sesiapa, baik ibu muda atau pelajar.

"Jenayah tetap jenayah dan mereka tidak harus terlepas daripada hukuman," katanya.

Sharizat berkata, pembuangan bayi bukan sahaja merupakan satu jenayah tetapi juga satu bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak.

Katanya, bayi yang lahir dan diibaratkan seperti 'kain putih' tidak seharusnya menjadi mangsa kekejaman ibu bapa.

"Kita tak boleh biarkan satu pun kes penganiayaan dan kekejaman terhadap golongan bayi dan kanak-kanak berlaku di negara ini.

"Budaya penganiayaan kanak-kanak bukan budaya kita," katanya.

Hari Kanak-Kanak 2011 peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan disambut pada Sabtu ini di bangunan Sri Pentas TV3, Bandar Utama.

Di Malaysia, Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut pada mana-mana hari Sabtu setiap bulan Oktober.

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan