Perkampungan Hang Tuah Di Kg Duyung Melaka

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Sebuah lagi projek pelancongan yang dinamakan "Perkampungan Pahlawan Laksamana Hang Tuah, pahlawan terbilang Melaka" akan didirikan di kawasan seluas 40 hektar di Kampung Duyung di sini dengan nilai RM132 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kampung tersebut dipilih kerana ia dipercayai merupakan kampung asal dan tempat Hang Tuah bermastautin selain menjadi sebutan dalam hikayat lama seperti Lagenda Sungai Duyong.

"Perkampungan itu bakal dibina menerusi satu perancangan bersepadu menggabungkan identiti budaya, seni bina dan tradisi itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2013," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pecah Tanah projek itu petang Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat adalah wajar kampung itu yang pada masa kini dilawati kira-kira 2,000 pengunjung sebulan dibangunkan semula sebagai salah sebuah tempat pemuliharaan sejarah melalui pendekatan 'Muzium Hidup' yang melibatkan kehidupan masyarakat kampung ini.

"Hang Tuah dan Melaka adalah sinonim dan adalah satu kerugian jika kita tidak mengambil kesempatan ini untuk memashyurkan kembali nama laksamana terbilang ini kerana ia berkait rapat dengan zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka," katanya.

Menurut beliau, pembinaan projek itu melibatkan beberapa fasa dengan fasa pertama melibatkan kawasan seluas 10.4 hektar yang bernilai RM34.132 juta.

Beliau berkata, pembinaan perkampungan itu akan melibatkan pembinaan struktur-struktur baru yang lebih tersusun manakala struktur sedia ada akan dibaik pulih dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Antara struktur baru yang akan dibangunkan ialah Rumah Hang Tuah, Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir, Rumah Hang Lekiu, rumah tradisional Melayu, Muzium Hang Tuah, auditorium, balai adat dan pentas kebudayaan.

Selain itu kerajaan negeri akan membaik pulih perigi Hang Tuah, surau, enam buah rumah tradisional milik perseorangan, meroboh gelanggang silat yang usang dan menggantikannya dengan pentas silat utama yang lebih luas.

Katanya, projek perkampungan boleh dilihat sebagai program serampang dua mata yang menggabungkan elemen sejarah sebagai tarikan pelancong dan pusat pengembangan aktiviti ekonomi bagi kira-kira 2,000 orang masyarakat kampung itu. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Kolumnis

iklan

Iklan