Pelajar Tercicir Gembira Bakal Bersekolah Semula

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Hasrat Ahmad Nazri Abu Bakar, 14, untuk bersekolah semula akhirnya akan tercapai setelah Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pelajaran Kedah (YPKPK) tampil membantu untuk menempatkannya di sekolah menengah dalam masa terdekat.

Pengerusi YPKPK Zuraidi Rahim berkata beliau akan berbincang dengan Pengarah Pelajaran Kedah mengenai proses kemasukan Ahmad Nazri ke sebuah sekolah yang akan ditetapkan.

"Saya akan serahkan perkara ini kepada pihak pelajaran negeri sama ada untuk memberi program permulaan, kursus intensif dan pemahaman semula kepada Ahmad Nazri agar dia dapat belajar semula mata pelajaran yang dia tercicir selama ini," katanya kepada pemberita ketika melawat keluarga Ahmad Nazri di Kampung Peremba dekat sini Ahad.

Pada 12 Okt lepas, Bernama melaporkan mengenai nasib Ahmad Nazri yang terpaksa berhenti bersekolah disebakan kesempitan hidup dan mahu membantu neneknya mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga ketika dia berusia 12 tahun selepas kematian ibu bapanya.

Dia dan dua adiknya Nor Hidayu, 13, dan Nor Erdiyani, 8, kini tinggal bersama nenek mereka Fatimah Abdullah, 59.

Zuraidi berkata YPKPK juga akan menjadikan Nor Erdiyani, yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru dekat sini, sebagai anak angkat yayasan tersebut agar dia tidak tercicir seperti abangnya.

"Saya lihat Erdiyani berpotensi untuk menjadi pelajar cemerlang dan kami akan memantaunya bagi membolehkan dia berjaya," katanya.

Ahmad Nazri, yang kini terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan dalam masa sehari seperti menghantar makanan, membasuh ayam, membaiki motosikal, mengecat rumah dan lain-lain pekerjaan dengan pendapatan sekitar RM 10 hingga RM 15 bagi satu-satu kerja yang dilakukan.

"Saya cari duit nak sara tok (nenek) dan adik-adik yang masih bersekolah. Sebagai anak sulung saya kena la buat semua ni," katanya.

Ahmad Nazri, yang bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan oleh YPKPK, berkata beliau ingin menjadi seorang mekanik motosikal dan ahli perniagaan yang berjaya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan