Majikan Dinasihat 'Putihkan' Status PATI Mereka

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Para majikan perlu segera mengemukakan permohonan bagi "memutihkan" status pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berada di bawah tanggungjawab mereka tanpa menunggu sehingga ke saat akhir pada 10 Januari tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jika mereka gagal membuat permohonan bagi memutihkan status Pati di bawah jagaan masing-masing, majikan bakal berdepan dengan tindakan penguatkuasaan, katanya.

"Sekiranya sebelum ini ada pihak yang memberi alasan bahawa sukar untuk mendapatkan kelulusan pekerja asing, kini kita buka ruang seluas-luasnya untuk majikan menyertai Proses Pemutihan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan bersama semua Pengarah Imigresen Negeri di sini Selasa.

Sehingga semalam, sebanyak 1,574 majikan telah tampil untuk mengemukakan permohonan bagi memutihkan pekerja mereka yang secara keseluruhannya berjumlah 17,959 Pati, sejak proses pemutihan dilakukan pada 10 Oktober lepas.

Hishammuddin berkata daripada jumlah itu, seramai 17,227 orang telah diputihkan status mereka manakala permohonan daripada 732 Pati telah ditolak.

"Proses pemutihan ini, iaitu peringkat kedua dalam Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pati (Program 6P) dilaksanakan dengan melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi yang dipertanggungjawab.

"Keputusan yang dicapai sama ada sesuatu permohonan itu layak untuk diluluskan atau sebaliknya bergantung kepada pertimbangan panel yang diwakili oleh kementerian berkaitan," katanya.

Beliau berkata Pati yang permohonan mereka ditolak terdiri daripada mereka yang bekerja di luar sektor yang dibenarkan atau bukan daripada senarai negara sumber.

Katanya bagi kes-kes berkenaan, rayuan boleh dibuat melalui agensi kawal selia atau kementerian yang bertanggungjawab bagi setiap sektor.

Hishammuddin berkata kerajaan telah memutuskan untuk memberi peluang terakhir kepada Pati yang tidak mendaftar dalam Proses Pendaftaran untuk keluar meninggalkan negara tanpa dikenakan sebarang tindakan tetapi mereka harus tampil dan menyerah diri kepada Jabatan Imigresen dalam masa terdekat.

Profil diri dan data biometrik mereka akan direkodkan sebelum notis membenarkan mereka meninggalkan negara ini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, katanya.

Beliau berkata Pati yang telah menyertai Proses Pendaftaran dan ingin keluar meninggalkan negara, boleh menyertai Proses Pengampunan dengan merujuk kepada Jabatan Imigresen.

"Tawaran ini dibuka hanya untuk mereka yang mendaftar biometrik dan akan dibenarkan keluar meninggalkan negara tanpa sebarang tindakan undang-undang," kata Hishammuddin.

Sejak Proses Pengampunan bermula pada 1 September lepas, 19,762 Pati telah diberi pengampunan dan keluar dari negara ini.

Daripada jumlah itu, warga Indonesia adalah seramai 12,463 orang, India (1,988), Bangladesh (603), Myanmar (777), Kemboja (736), Filipina (732), Nepal (715), Vietnam (609), Sri Lanka (483), Pakistan (311), China (196), Thailand (40), Iran (19), Nigeria (10) dan negara-negara lain yang masing-masing tidak melebihi 10 orang. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan