Kerajaan Sedia Bantu Latih Wartawan Buat Liputan Di Zon Konflik

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia membantu organisasi media melatih wartawan dan jurugambar bagi membuat liputan di zon kritikal atau dilanda konflik di luar negara.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata pengamal media boleh diberi latihan ala-tentera mengenai taktik dan teknik survival.

"Organisasi media pula haruslah bersedia membekalkan kelengkapan keselamatan seperti baju kalis peluru, topi besi, jaket keselamatan, topeng gas dan alat-alat perkhemahan untuk kegunaan pemberita atau jurugambar mereka yang membuat liputan di kawasan berisiko tinggi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Selasa, bagi menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) mengenai langkah kementerian dalam memastikan wartawan tempatan yang membuat liputan di kawasan konflik atau perang dilindungi, dan usaha kementerian dalam menjalinkan hubungan dengan agensi-agensi media berkaitan untuk menangani isu itu.

D'Cruz berkata organisasi media seharusnya bertanggungjawab memastikan wartawan atau jurugambar mereka diberikan latihan secukupnya bagi melindungi keselamatan mereka dalam menghadapi situasi bahaya semasa membuat liputan di kawasan berisiko tinggi.

"Organisasi media harus mempunyai tatacara pelaksanaan kerja sendiri dalam menghadapi liputan seperti ini.

"Kerajaan sentiasa mengalu-alukan organisasi media membuat persediaan seperti melatih pemberita dan jurugambar membuat liputan secara selamat di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti di negara peperangan atau bencana alam," katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Jidin mengenai langkah-langkah kerajaan dalam melindungi dan membantu anggota media menjalankan tugas dengan selamat di kawasan berkenaan, D'Cruz berkata pelbagai inisiatif serta polisi perlindungan insurans disediakan bagi menjamin keselamatan media sekiranya mengalami kemalangan semasa bertugas di dalam dan luar negara.

Katanya Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) akan mengeluarkan panduan keselamatan komprehensif untuk wartawan yang membuat liputan di zon kritikal atau dilanda konflik dan kementerian akan meneliti kandungan buku tersebut untuk memastikan ia sesuai dengan keadaan semasa.

Menjawab soalan tambahan Tian Chua (PKR-Batu) mengenai penubuhan Majlis Perundingan Media, D'Cruz berkata kerajaan masih mengkaji struktur majlis itu.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, katanya, telah mengadakan mesyuarat untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak media mengenai cadangan penubuhan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan pula membneritahu Dewan bahawa sebanyak 486 lesen pengilang telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Melaka), beliau berkata lesen itu dikeluarkan kepada syarikat yang menjalankan aktiviti perkilangan dengan memiliki dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM2.5 juta atau menggaji pekerja sepenuh masa sekurang-kurangnya 75 orang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan