Defisit Belanjawan 2012 Kelantan Terus Bertambah

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Belanjawan Negeri Kelantan 2012 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada Selasa, menyaksikan kadar defisit bagi tahun depan terus bertambah yang dijangka berjumlah RM83.23 juta berbanding RM53.25 juta pada belanjawan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa ketika membentangkan belanjawan itu berkata walaupun anggaran hasil bagi tahun depan adalah sebanyak RM430.27 juta iaitu pertambahan RM19.38 juta berbanding tahun ini, namun kenaikan itu tidak mencukupi untuk menampung anggaran perbelanjaan mengurus dan menyebabkan peningkatan defisit.

"Di dalam bajet kali ini, perolehan hasil yang dianggarkan bakal diperolehi berjumlah RM430.27 juta manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM513.50 juta. Oleh itu defisit bagi tahun 2012 dijangka berjumlah RM83.23 juta.

"Walaupun bajet tahun 2012 merupakan belanjawan defisit namun dijangka dapat mengulangi rekod pada tahun 2010 dimana defisit sebenar jauh berkurangan berbanding angka defisit di dalam bajet," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2012 yang bertemakan "Kesejahteraan Bersama Keberkatan".

Belanjawan itu adalah berdasarkan kepada hasil sebenar negeri dengan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat, pembinaan insan yang berteraskan Islam dan pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, ibu tunggal dan warga emas serta mereka yang memerlukan.

Husam berkata anggaran hasil negeri pada 2012 adalah meliputi hasil cukai sebanyak RM88.49 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM196.24 juta sementara terimaan bukan hasil pula sebanyak RM145.54 juta.

Katanya jumlah tersebut menunjukkan peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 juta atau sebanyak lima peratus berbanding anggaran hasil tahun ini.

"Peningkatan hasil bagi tahun 2012 adalah berpunca daripada beberapa penyemakan semula yang dibuat oleh jabatan-jabatan setelah mengambil kira pungutan sebenar hasil yang diperolehi pada 2010 dan Jun 2011. Hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM109.46 juta atau 25.44 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.24 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan 2011 iaitu sebanyak RM107.21 juta," katanya.

Beliau berkata hasil tanah itu meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM36.97 juta, premium tanah RM37.70 juta, bayaran pendaftaran RM5.68 juta serta bayaran gadaian sebanyak RM3.79 juta.

Beliau berkata perhutanan akan menyumbang sejumlah RM118.51 juta atau 27.54 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

"Royalti kayu kayan akan menyumbang sebanyak RM25 juta, sumbangan konsesi hutan sebanyak RM4.20 juta, permit dan lesen perhutanan RM1.71 juta sementara premium perhutanan sebanyak RM40 juta," katanya.

Beliau berkata belanjawan itu juga menyaksikan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM513.49 juta berbanding tahun ini sebanyak RM464.13 juta iaitu peningkatan sebanyak RM49.36 juta atau 11 peratus, merangkumi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM22.90 juta dan perbelanjaan bekalan berjumlah RM490.60 juta.

Daripada jumlah itu, RM271.32 juta atau 52.84 peratus adalah untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM146.55 juta atau 28.54 peratus untuk emolumen, RM77.91 juta atau 15.17 peratus bagi perkhidmatan dan bekalan, RM15.59 juta atau 3.04 peratus untuk aset dan RM2.12 juta atau 0.41 peratus untuk lain-lain perbelanjaan.

Peruntukan pembangunan pula adalah berjumlah sebanyak RM254.94 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri termasuk sebanyak RM113 juta daripada sumber pinjaman.

Selain itu, Husam turut mengumumkan kerajaan negeri telah bersetuju membayar tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum sebanyak RM500 akan dibayar kepada kakitangan kerajaan negeri yang akan dibuat bersekali dengan gaji Disember ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut mengikut langkah kerajaan Persekutuan untuk membayar imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM500 pada Ogos lalu yang membabitkan peruntukan RM6.12 juta.

Persidangan dewan bersambung esok. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan