Cadangan Akta Murtad Perlu Dikaji Secara Menyeluruh:Jamil Khir

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan Akta Murtad perlu dikaji secara menyeluruh daripada peringkat negeri dan persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata untuk melaksanakan sesuatu akta berkaitan dengan agama Islam, ia harus dirujuk dahulu di peringkat negeri sebelum dibawa ke peringkat persekutuan kerana hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Sultan untuk diputuskan.

"Akta (Akta Murtad) ini perlu dirujuk terlebih dahulu di peringkat negeri... adakah akan dilaksanakan atau tidak ia bergantung kepada negeri tersebut," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Beliau mengulas gesaan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya pihak berkuasa agama mewujudkan segera akta bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu Jamil Khir selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyerahkan cek bantuan pakaian dan peralatan persekolahan Baitulmal MAIWP tahun 2012 bernilai RM2.8 juta kepada wakil pelajar yang mewakili kira-kira 17,000 pelajar sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Jamil Khir berkata bantuan yang diberi merupakan langkah awal bagi meringankan beban yang bakal ditanggung ibu bapa sebelum musim persekolahan 2012 bermula.

"Bantuan yang kita bagi walaupun penggal persekolahan belum habis tetapi ia sebagai langkah untuk ibu bapa merancang kewangan mereka...jika kita dah bagi baju, seluar, kasut dan beg maka ibu bapa tak perlu beli lagi...kalau kita bagi awal tahun nanti mereka sudah beli, itu dah merugikan mereka...sebab itu bantuan persekolahan ini diberi awal," katanya.

MAIWP memberikan bantuan tahunan persekolahan kepada pelajar yang kurang bernasib baik di 256 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Mengenai jemaah haji Malaysia menghadapi masalah untuk mengeluarkan wang daripada simpanan Tabung Haji, Jamil Khir berkata masalah itu timbul disebabkan langkah kerajaan Arab Saudi yang mengehadkan pengeluaran wang kepada jemaah bagi mengelakkan "pengubahan wang haram".

"Kita tahu jemaah haji akan berasa resah dengan perkara ini tetapi kita akan berbincang dengan pihak Arab Saudi untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan