Malaysia-Maynmar Akan Laksana Program Tukar Tahanan - Hishamuddin

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan program pertukaran tahanan antara Malaysia dan Myanmar dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, kira-kira 1,000 warga Myanmar ditahan di depot tahanan Imigresen di Malaysia setakat ini.

"Kita akan memulakan proses pertukaran tahanan dengan Myanmar dalam tempoh segera bagi mengurangkan kepadatan jumlah tahanan di depoh tahanan imigresen di sini.

"Rakyat Myanmar yang ditahan tidak ramai tetapi ia langkah tepat sebagai permulaan untuk mewujudkan hubungan dua hala berkaitan pergerakan pekerja di rantau ini," katanya pada sidang media di Parlimen selepas menerima kunjungan rasmi Timbalan Menteri Luar Myanmar, U Maung Myint, Isnin.

Menurut beliau, kira-kira 1,000 warganegara Myanmar ditahan kerana melanggar Akta Imigresen dan menetap di negara ini lebih daripada tempoh dibenarkan.

Seramai 257,000 warga Myanmar telah berdaftar di bawah Program 6P dengan kira-kira 144, 098 merupakan pendatang tanpa izin.

Hishamuddin berkata, memandangkan Myanmar merupakan negara punca ketiga terbesar di negara ini, pendekatan program 6P berupaya memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.

"Kerjasama antara kedua-dua negara penting bagi memastikan proses penghantaran pulang pendatang izin dari Myanmar berjalan dengan lancar," tambahnya.

Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, Malaysia dan Myanmar akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bersama bagi menangani isu berkaitan jenayah merentasi sempadan yang akan memulakan mesyuaratnya pada minggu depan.

"Kita akan bersama-sama memerangi jenayah serius seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah dan senjata," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan