Kes Kemalangan Industri Menurun- Maznah

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jumlah kemalangan industri tahun lalu menurun kepada 35,616 kes berbanding 38,376 pada 2009, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Bagaimanapun katanya, kes kemalangan ulang-alik atau 'commuting' meningkat daripada 20,810 pada 2009 kepada 22,040 tahun lepas.

"Kebanyakan kemalangan commuting ini berlaku semasa pekerja dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat kerja iaitu 89 peratus, diikuti keluar makan tengah hari 5.6 peratus dan sebab-sebab lain 5.4 peratus," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Maznah berkata tahun lepas, Pertubuhan Keselamatan Sosial membayar pampasan hampir RM1.7 bilion yang membabitkan 57,656 kes kemalangan dalam semua sektor, berbanding RM1.35 bilion pada 2009.

Sementara itu, beliau yang ditemui sebelum merasmikan Seminar Keselamatan Rel Kebangsaan berkata seminar tersebut antara usaha pihak berkuasa bagi meningkatkan kesedaran pekerja mengenai keselamatan di tempat kerja.

"Fahaman ini penting kerana ia akan membantu kerajaan mengurangkan kes kemalangan selaras dengan tranformasi negara yang memberi penekanan dalam sistem pengangkutan awam," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan