Kerajaan Gubal Akta Rukun Tetangga, Skim Rondaan Sukarela

Diterbitkan: Isnin, 17 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menggubal akta baru untuk Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bagi memperluaskan fungsi dan skop kedua-dua sistem itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata langkah mewujudkan undang-undang baru itu selaras perkembangan semasa dan penggubalannya perlu berikutan pemansuhan beberapa enakmen termasuk Ordinan Darurat.

"Sehubungan itu, kementerian mengalu-alukan cadangan semua pihak bagi meningkatkan keberkesanan RT dan SRS dalam akta yang akan digubal itu," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Dr Koh berkata kebanyakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan secara positif mengikut sasarannya sejak ditubuhkan pada 1975 mengikut Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969.

"KRT lebih menumpukan kepada pelbagai aktiviti yang dapat mempromosikan interaksi, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan, kejiranan, muhibbah, kerjasama, persefahaman, keharmonian dan perpaduan di kalangan penduduk di sesuatu kawasan," katanya.

Beliau berkata SRS, yang diperkenalkan mulai 2004, bertujuan melibatkan anggota jiran setempat membantu pihak polis menangani jenayah.

Katanya KRT dan SRS sentiasa sedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), persatuan penduduk dan badan-badan lain untuk meningkatkan keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan di kawasan berkenaan.

Bilangan KRT meningkat 37 peratus iaitu 5,456 pada Ogos lepas berbanding 3,995 pada awal 2009 manakala SRS bertambah daripada 1,248 kepada 2,698, meningkat 110 peratus, katanya.

"Ini merupakan dua rekod yang dicatat di bawah pentadbiran baru di bawah inisiatif-inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan