Keluarga Ahmad Sarbani Tuntut RCI Ditubuh Siasat Semula Punca Kematian

Diterbitkan: Sabtu, 15 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keluarga arwah Ahmad Sarbani Mohamed menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat semula punca sebenar kematian pegawai kastam itu pada April lalu.

Peguam yang mewakili keluarga arwah, N.Surendran berkata, tuntutan itu dibuat kerana mereka tidak dapat menerima keputusan inkues bahawa kematian Ahmad Sarbani disebabkan kemalangan dan pada masa sama terlalu banyak maklumat yang tidak munasabah diberikan.

"Keputusan itu menimbulkan pelbagai persoalan yang ingin diketahui ahli keluarga kerana terdapat ketidaktelusan dalam siasatan punca kematian arwah," katanya pada sidang media di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Sabtu.

Menurut Surendran, hanya RCI saja yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan Peguam Negara melakukan siasatan semula ke atas kes kematian Ahmad Sarbani.

"Itu saja jalan penyelesaian yang kita ada untuk mencari kebenaran dan keadilan berhubung kematian arwah," katanya.

Surendran berkata, wujud ketidaktelusan dalam inkues yang dijalankan kerana keterangan bahawa Ahmad Sarbaini dituduh menerima rasuah adalah melanggar prosedur undang-undang kerana ketiadaan arwah untuk menjawab pertuduhan itu.

"Kita dapat lihat percubaan demi percubaan dilakukan untuk menjejaskan nama baik Ahmad Sarbani seperti yang berlaku dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

"Arwah tiada untuk menjawab pertuduhan itu...jadi bagaimana Mahkamah Koroner boleh bergantung kepada keterangan tersebut. Maka prosiding inkues itu tercemar dan bukan diadakan untuk mencari kebenaran," tambahnya.

Turut hadir dalam sidang media itu termasuklah ibu Ahmad Sarbaini, Aishah Abd Raof, adik ipar arwah Makhtar Mansor, wakil keluarga Teoh Beng Hock dan wakil peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.

Surendran turut mempertikaikan pelantikan peguam terkenal Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM dalam kes ini.

"Mengapa SPRM menggunakan RM150,000 yang dikutip dari pembayar cukai untuk melantik Muhammad Shafee sebagai peguam untuk membela mereka? Ini jelas dari awal lagi, ada percubaan untuk menutup kes tersebut," katanya.

Sementara itu, Makhtar turut kecewa kerana isu seperti gangguan kepada dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV), DVR1 dan DVR2 di bangunan tersebut yang berlaku pada 5 April lalu gagal diperjelaskan secara terperinci.

"Apa yang kita lakukan ini adalah untuk mencari kebenaran di sebalik kematian arwah. Kita tidak mahu individu dan agensi awam yang terlibat dalam kes ini terlepas dari tindakan undang-undang," katanya.

Makhtar berkata, selagi Suruhanjaya Diraja itu tidak ditubuhkan, keluarga arwah tidak akan berhenti mendesak kerajaan untuk menyiasat semula punca sebenar kematian Ahmad Sarbaini yang masih menjadi persoalan sehingga hari ini.

Mayat Ahmad Sarbaini, 56, ditemui dalam keadaan tertiap di gelanggang badminton di Tingkat 1 bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Pada 27 September lalu, Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan bahawa tiada unsur jenayah atau penglibatan pihak ketiga dalam kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan