PDRM Rancang Kerjasama Lebih Luas Dengan ATM

Diterbitkan: Jumaat, 14 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang memperluaskan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dalam bidang latihan dan kepakaran seperti komunikasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin untuk mendapat persetujuan bersama.

"Kerjasama ini (dalam bidang komunikasi) juga untuk melihat pegawai kita disempadan contohnya mempunyai kemahiran yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 61 anggota dan pegawai ATM dan PDRM yang merupakan kumpulan pertama yang menyertai Strategi Lautan Biru Kebangsaan 2 (NBOS2), di Pusat Latihan Polis di sini, Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) selaku pemangku Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Hanafi.

Ismail berkata selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kerjasama dengan ATM juga dilihat dapat memperlihatkan peningkatan semangat terhadap kedua-dua unit beruniform tersebut.

Beliau berkata kerjasama itu dijangka dapat menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM639 juta untuk tempoh lima tahun.

Sementara itu Mohd Bakri berkata pihaknya akan mengkaji kelemahan prosedur syarikat keselamatan yang menyebabkan kira-kira RM1.9 juta yang dibawa dengan van keselamatan syarikat itu dilarikan pada 6 Oktober lalu.

Wang tersebut dilaporkan dilarikan oleh lima lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol di sebuah stesen minyak di pekan Ijok, Kuala Selangor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan