Ahmad Thamrin Dilantik Semula Pengerusi PKR Sabah

Diterbitkan: Jumaat, 14 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik semula Ahmad Thamrin Jaini sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah berkuatkuasa Rabu lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelantikan berkenaan merupakan satu keputusan penting bagi PKR Sabah selepas proses rundingan dibuat.

"Keputusan ini dibuat selepas proses rundingan dengan pimpinan PKR Sabah diadakan dimana secara keseluruhannya, mereka bersetuju bahawa beliau merupakan calon yang terbaik.

"Beliau juga sesuai menerajui PKR Sabah dalam terus mengembang dan menggembeling sokongan rakyat Sabah terhadap PKR serta dalam persediaan menghadapi pilihan Raya umum Ke-13 nanti," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu Wan Azizah berkata, dengan pelantikan Ahmad Thamrin, Majlis Presiden Sabah yang ditubuhkan untuk memimpin dan mentadbir PKR Sabah sejak 27 Januari lalu dibubarkan serta merta.

"Saya telah meminta Ahmad Thamrin untuk segera memulakan rundingan di kalangan pimpinan PKR Sabah bagi menyusun saf pimpinan negeri.

"Saya yakin di bawah pimpinan Ahmad Thamrin nanti akan terus berjaya mendapat sokongan dan kepercayaan dari rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak dan keadilan yang sewajarnya menjadi milik rakyat Sabah sendiri," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan