PTPTN: Fong Cadang Pertukaran Kaedah Ujrah Secara Automatik

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan mencadangkan agar proses permohonan pertukaran pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada sistem konvensional (tiga peratus) kepada kaedah pinjaman Islam atau ujrah (satu peratus) pada tahun ini dilakukan secara automatik.

Menurut beliau, jika kaedah itu dilakukan secara automatik, ia bukan saja memudahkan urusan pertukaran malah dapat menjimatkan kos dan masa.

"Mengapa setiap kali apabila ada pertukaran polisi, peminjam perlu isi semula borang-borang? Mengapa tidak boleh dilakukan secara automatik?" soalnya ketika sesi soal jawab lisan berhubung pertukaran pinjaman PTPTN kepada kaedah ujrah di Dewan Rakyat, Khamis.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chong dalam jawapannya berkata, perjanjian baru yang perlu ditandatangani oleh peminjam untuk menikmati kaedah ujrah ini berlandaskan peraturan undang-undang dan mengikut prosedur terdahulu.

"Bagi saya proses ini tidak susah. Kita sudah mula membuat hebahan mengenai proses kemas kini pertukaran pinjaman kepada pembiayaan berlandaskan ujrah sejak 20 September 2010 hingga 30 September lalu.

Jelas beliau, proses semakan semula ke atas peminjam yang perlu dilakukan secara teliti dan masalah kekurangan kakitangan menyebabkan terjadinya sedikit kelewatan dalam urusan pertukaran ini.

"Namun proses ini bermula amat mudah kerana peminjam hanya diminta untuk mengemaskini maklumat seperti emel, nombor telefon dan alamat terkini secara dalam talian," katanya.

Dr Hou berkata, sehingga hari ini seramai 435,160 peminjam yang layak diberi surat tawaran dan mereka diberi tempoh selama tiga bulan untuk mengembalikan dokumen perjanjian.

"Pertukaran kepada kaedah ujrah melibatkan 836,408 daftar peminjam. Sehingga 30 September lalu, 18 peratus peminjam telah mengemaskini maklumat mereka pada saat akhir," katanya.

Kata beliau, sehingga 31 Ogos lalu, sejumlah RM2.89 bilion masih gagal dikutip daripada peminjam yang telah tamat pengajian.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan