Pelajar Malaysia Di Indonesia Dinasihat Tidak Terpancing Provokasi

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Pelajar Malaysia di Indonesia dinasihatkan supaya tidak bertindak balas terhadap provokasi oleh beberapa pihak ekoran tercetusnya semula isu sempadan melibatkan kedua-dua negara.

Education Malaysia di Indonesia (dahulunya Jabatan Penuntut Malaysia) yang mengeluarkan nasihat itu berkata ia bertujuan mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.

Atase Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun, memberi jaminan kepada ibu bapa pelajar bahawa pihak Education Malaysia di Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau 24 jam keadaan keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka, berikutan perkembangan terbaru itu.

Katanya pelajar Malaysia di seluruh Indonesia telahpun diingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika berada di luar rumah bagi mengelak diri daripada terheret dalam kancah pertikaian isu ini.

"Kami mendapat aduan daripada pelajar yang sedang menjalankan latihan amali di hospital bahawa mereka diprovokasi oleh beberapa doktor dan jururawat.

Ada juga aduan pelajar diprovokasi oleh sebahagian pensyarah dan rakan kuliah dari Indonesia.

"Bagi mengelak perkara yang tidak diingini, EM Indonesia telah meminta semua pelajar Malaysia supaya tidak menjawab atau memberi sebarang respons kepada rakyat Indonesia yang cuba membuat provokasi kepada mereka," katanya.

Ludinata berkata pelajar-pelajar Malaysia juga diminta berada dalam kumpulan jika keluar rumah selain mengelak diri daripada dikenali melalui identiti berpakaian dan pulang rumah sebelum tengah malam.

Isu pertikaian sempadan itu berlaku apabila Timbalan Ketua Suruhanjaya 1, Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Tb Hasanuddin hujung minggu lalu mendakwa Indonesia kehilangan 1,400 hektar di Camar Bulan serta 800 meter garis pantai di Tanjung Datu, Kalimantan Barat, yang didakwa telah diambil secara haram oleh Malaysia.

Dakwaan beliau bagaimanapun telah disangkal beberapa menteri kabinet Indonesia kerana tidak mempunyai asas yang kukuh.

Isu itu yang dihangatkan oleh media tempatan memuncak semalam apabila sekumpulan masyarakat Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan.

Demonstrasi oleh 650 peserta dari Forum Betawi Rempug (FBR) itu berubah menjadi liar apabila mereka melempar batu, kayu dan buluh ke arah bangunan kedutaan sehingga merosakkan beberapa lampu pagar dan memecahkan kaca pos pengawal keselamatan di kedutaan itu.

Sembilan anggota polis Indonesia yang berkawal di situ turut mengalami luka-luka terkena benda yang dilemparkan penunjuk perasaan itu dan polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi mengawal keadaan. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan