Tidak Perlu Laporan Polis Untuk Sijil, Pasport, Geran & Lesen Memandu Hilang

Diterbitkan: Rabu, 12 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu lagi membuat laporan polis bagi sebarang penggantian berhubung kehilangan dan kerosakan sijil kelahiran, pasport Malaysia, sijil perkahwinan, sijil akademik, perakuan pendaftaran kenderaan dan lesen memandu serta geran tanah.

Perkara itu terkandung dalam Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2011 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 29 September lepas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata kerajaan membuat keputusan berhubung pemansuhan keperluan mengemukakan laporan polis itu pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam (JKTPA) Bilangan 2, 2011 pada 6 April lepas kerana ia sebenarnya merupakan amalan pentadbiran yang tidak diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang.

Beliau berkata pada 2010, sejumlah 2.8 juta laporan polis diterima, dengan 1.1 juta atau 40 peratus daripada jumlah itu termasuk dalam kategori 'Rujuk Lain-Lain Agensi'.

"Ini menunjukkan sebahagian besar laporan polis yang dibuat tidak memerlukan tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Perkara ini bukan sahaja menyusahkan orang awam, malah tidak melambangkan imej perkhidmatan awam yang cekap dan mesra pelanggan.

"Di pihak PDRM pula, amalan ini turut menyebabkan tambahan beban kerja dalam mengendalikan urusan pelaporan polis. "Keperluan ini juga mengakibatkan peningkatan kos operasi PDRM di samping tidak memberi nilai tambah dalam penyampaian perkhidmatan PDRM," katanya.

Berikutan pemansuhan itu, Mohd Sidek meminta semua agensi kerajaan mengenal pasti urusan yang memerlukan orang awam mengemukakan laporan polis kepada agensi kerajaan terbabit mengikut keperluan yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, Pekeliling itu tidak menghalang orang awam daripada membuat laporan polis, dan agensi kerajaan juga tidak boleh menghalang orang awam membuat laporan kepada PDRM. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan