Malaysia-Indonesia Perlu Wujud SOP Dalam Pengurusan Isu Sempadan - Anifah

Diterbitkan: Selasa, 11 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) dalam pengurusan sempadan bersama maritim dan darat antara Malaysia dan Indonesia perlu diwujudkan untuk mengelak sebarang kemungkinan pertelingkahan di masa depan. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata garis panduan itu perlu untuk menguruskan tuntutan bertindih membabitkan kawasan maritim atau darat yang dapat menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Mesyuarat hari ini berlangsung dalam suasana yang positif, berterus terang dan mesra. Kami membincangkan pelbagai topik, termasuk keperluan bagi kedua-dua pihak untuk mempercepatkan rundingan yang sedang berlangsung berkaitan klausa sempadan maritim dan persempadanan.

"Turut diwujudkan ialah garis panduan bersama berhubung tuntutan bertindih di kawasan maritim bagi kedua-dua agensi penguatkuasaan maritim," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-11 antara Malaysia dan Indonesia di sini.

Anifah mempengerusikan bersama mesyuarat itu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Dr R.M Marty M.Natalegawa.

Memetik contoh kes enam nelayan Malaysia yang ditahan di Bengkalis, Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara pada Mac lepas, Anifah berkata kedua-dua negera bersetuju menyelesaikan secara baik masalah yang menyelubungi nelayan dari kedua-dua negara apabila mereka berdepan dengan agensi penguatkuasaan kedua-dua negara dalam kawasan maritim yang bertindih.

Marty berkata kedua-dua negara perlu memastikan bahawa mereka mempunyai suasana yang kondusif untuk mengelak insiden yang boleh merumitkan hubungan dua hala di samping sebarang peristiwa yang tidak perlu di masa depan.

Antara tuntutan bertindih wilayah membabitkan Malaysia dan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan termasuk perairan Ambalat, pulau Sipadan dan Ligitan serta baru-baru ini sempadan Kalimantan.

Mengenai dakwaan bahawa tanah Indonesia di Kalimantan telah diambil alih oleh Malaysia, Anifah berkata ia bukan sebenarnya suatu isu untuk diberi tumpuan memandangkan koordinat sempadan darat telah pun dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Beliau berkata jika sebarang tanda sempadan dialihkan, kedua-dua negara boleh menghantar pasukan untuk menetapkan tanda sempadan seperti yang telah pun dipersetujui sebelum ini.

"Itu bukanlah satu isu yang kami perlu bimbang. Ia boleh berlaku... tanda sempadan dialihkan oleh individu tidak bertanggungjawab tanpa sebarang tujuan. Jika perkara seperti ini didapati berlaku, kami akan dapat menyelesaikannya dengan baik. Terdapat garis panduan yang sangat jelas berdasarkan koordinat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. "Bagaimanapun, masih ada isu sempadan tertunggak yang kami perlu muktamadkan namun ini bukanlah suatu isu yang membimbangkan kami," katanya.

Marty berkata dua lagi mesyuarat kumpulan teknikal berkaitan isu sempadan maritim dan darat akan diadakan menjelang akhir tahun ini.

Mengenai pembantu rumah domestik warga Indonesia, Marty tidak menyatakan bilakah Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pembantu rumah yang dimeterai antara Malaysia dan Indonesia pada Mei lepas akan dilaksanakan.

Beliau berkata republik itu berusaha untuk memastikan semua mekanisme dan kerangka kerja benar-benar sedia untuk pelaksanaan MoU itu.

"Ini supaya apabila larangan terhadap penghantaran pembantu rumah itu ditarik balik, kita mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk memastikan MoU itu dapat dilaksanakan sepenuhnya," katanya. Marty berkata Indonesia prihatin terhadap isu kebajikan dan perlindungan pembantu rumah, termasuk peluang pendidikan bagi anak-anak pekerja Indonesia yang mencari rezeki Malaysia.

Terdahulu dalam mesyuarat berkenaan, Anifah dan Marty menandatangani Rekod Perbincangan JCBC ke-11. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan