Penyelidikan Universiti Tempatan Masih Baru Untuk Disenaraikan - Khaled Nordin

Diterbitkan: Isnin, 10 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyelidikan yang dijalankan oleh universiti-universiti tempatan masih baru untuk disenaraikan di kalangan universiti terbaik di dunia dan bukan kerana taraf universiti merosot seperti yang diperkatakan segelintir pihak, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menafikan dakwaan segelintir pihak berikutan daripada 400 universiti terbaik di dunia, universiti-universiti di Malaysia langsung tidak tersenarai dalam Times Higher Education (THE) 400 Top World University Ranking untuk sesi 2011/2012 yang baru dikeluarkan pada 6 Oktober lalu.

Khaled berkata, selain THE terdapat juga senarai kedudukan lain seperti QS World University Ranking.

"Kenapa terdapat banyak sistem ranking (kedudukan)? Ini kerana masing-masing mempunyai kriteria yang berbeza.

"Komponen paling besar dalam penilaian THE adalah penyelidikan iaitu 62.5 peratus.

"Bukan kerana kita diukur (sehingga tidak disenaraikan) tetapi penyelidikan (dilakukan oleh universiti tempatan) masih di peringkat baru dan belum tempoh matang," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Akademik Negara 2009 dan 2020 di sini, Isnin.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khaled berkata, universiti tempatan telah diangkat sebagai universiti penyelidikan namun perlu menunggu tempoh matang bagi mana-mana penyelidikan.

Menurut beliau, apabila membuat penyelidikan, ia perlu diterbitkan dan memastikannya sesuatu yang berimpak tinggi bukan pada tahap biasa atau sederhana.

"Dan untuk menjadikannya (penyelidikan berimpak tinggi) mengambil masa lama dan memerlukan kos yang tinggi.

"Ia mengambil masa antara empat, lima malah sehingga lapan tahun bagi melihat penyelidikan yang dimulakan atau diterbitkan itu menjadi rujukan dan pengiktirafan banyak pihak," katanya.

Sehubungan itu katanya, maka tiada universiti tempatan menyertai senarai tersebut pada masa ini kerana penyelidikan masih baru.

"Dan kira-kira tujuh universiti kita sudah mengatakan akan menyertainya (kedudukan terbaik universiti) secara aktif enam atau tujuh tahun bermula dari sekarang," katanya

"Kita (juga) tidak boleh beri lebih penekanan dalam penyelidikan semata-mata kerana Malaysia dari aspek komprehensif mempunyai kekuatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Kita kena lihat apakah keperluan kita dalam membangunkan universiti di negara ini," katanya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum ini berkata laporan THE yang terbaru itu menunjukkan tiada satu pun universiti-universiti Malaysia tersenarai.

Kit Siang turut membandingkan di antara Malaysia dan negara Asia lain yang tersenarai dalam laporan THE itu.

Antara senarai universiti di Asia yang dibandingkan ialah University of Tokyo, Jepun (30), University of Hong Kong (35), National University of Singapore, Singapura (40) dan Peking University, China (43) serta Kyoto University, Jepun (52).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan