Buku Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Diterjemah Dalam Tiga Bulan - Berita Semasa | mStar

Buku Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Diterjemah Dalam Tiga Bulan

Diterbitkan: Ahad, 9 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih 30 tahun memberi kelebihan kepada seorang penterjemah, Shamsudin Puteh untuk menyiapkan buku Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj setebal 563 muka surat dalam masa tiga bulan.

Diberi peluang untuk menterjemah buku Perdana Menteri pertama daripada bahasa Inggeris bertajuk 'Looking Back' itu, sememangnya memberi kepuasan walaupun berhadapan cabaran untuk memahami gaya bahasa dan corak penulisan Tunku, katanya.

Selain itu, katanya semangat perpaduan antara tiga kaum, Melayu, Cina dan India yang digarapkan secara ringkas melalui coretan-coretan Tunku boleh dijadikan pedoman kepada rakyat supaya sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi.

"Tunku merupakan seorang yang menuntut kemerdekaan dengan penuh ketelusan dan kejujuran," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Shamsudin, 55, yang kini berkhidmat sebagai penterjemah di Jabatan Penerangan Malaysia juga pernah menterjemah beberapa ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapan bekas perdana menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dibukukan.

Selain itu, beliau turut menterjemah buku bagi upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan buku cenderamata Tilawah Antarabangsa sejak 1977.

Beliau juga terbabit dalam penulisan artikel untuk penerbitan Jabatan Penerangan termasuk majalah Sinar Zaman.

Shamsudin yang terlatih dalam bidang teknikal dan mula bertapak dalam bidang itu pada tahun 1977, pada awalnya tidak pernah menyangka untuk menceburi bidang penulisan, apatah lagi bidang penterjemahan secara profesional.

Berbekalkan minat dan usaha yang gigih, beliau kini merupakan antara penterjemah terkenal dan pernah mengondol hadiah utama sajak Anugerah Sastera Utusan-Public Bank pada tahun 1986.

Beliau juga merupakan penulis lirik lagu Jabatan Penerangan bertajuk "Penggerak Minda Rakyat".

Selain menterjemah, Shamsudin juga aktif dalam bidang penyuntingan dan antara hasil kerja beliau ialah menyunting buku bergambar bertajuk "Najib Tun Razak:Melakar Transformasi Malaysia" yang dilancarkan tahun lepas.

Beliau juga telah menyunting buku biografi lima bekas perdana menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, Shamsudin berkata untuk menjadi cekap, penterjemah perlu sentiasa teliti dan menguasai bahasa kerana ia merupakan aspek penting dalam bidang yang dianggap mencabar oleh sesetengah orang.

"Penguasaan dua bahasa ketika membuat penterjemahan memang penting, tetapi yang lebih penting bagaimana kita memahami corak penulisan dari bahasa sumber (ke bahasa yang akan diterjemah)" katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai penterjemah sambilan di Meja Penyuntingan Bahasa Malaysia, Bernama berkata dirinya masih mempelajari untuk menguasai bidang itu dengan lebih mendalam serta meminta nasihat dari rakan-rakan rapatnya sekiranya mempunyai masalah.

Shamsudin yang memilih bersara awal pada Oktober ini berkata beliau membuat pilihan itu bagi memberi tumpuan untuk menjadi penterjemah bebas. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan