Kerajaan Tidak Pernah Pinggirkan Orang Asli

Diterbitkan: Sabtu, 8 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan tidak pernah meminggirkan Orang Asli walaupun mereka golongan minoriti di negara ini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hassan Malek.

Beliau berkata sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) hingga Kesembilan (RMK-9) kerajaan telah memberi peruntukan kepada pembangunan sosioekonomi dan pembangunan modal insan Orang Asli melebihi RM1 bilion.

Kesimpulannya daripada usaha tersebut transformasi telah berlaku di mana masyarakat yang dahulunya mundur, kini berubah kepada yang mampu bersaing dengan masyarakat arus perdana, katanya pada Seminar Pendidikan Orang Asli Dalam Arus Perdana di sini, Sabtu.

Hassan berkata dasar memberi peluang pendidikan kepada masyarakat Orang Asli secara intensif sejak 20 tahun dahulu telah membuahkan hasil sebilangan mereka memiliki ijazah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata walaupun pelbagai kejayaan telah dicapai, namun kerajaan masih lagi memandang serius isu-isu berhubung pendidikan masyarakat Orang Asli termasuk keciciran yang masih lagi berlaku.

Katanya, kerajaan akan lebih fokus melihat masalah keciciran ini termasuk melaksanakan beberapa langkah melalui program yang sedang dan akan dilaksanakan seperti mesra didik dan memperluaskan kemudahan sekolah komprehensif.

Hassan berkata program merangsang kecemerlangan pelajar Orang Asli dipergiatkan antaranya mengadakan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam pencapaian akademik.

Menurut beliau, pada tahun ini seramai 129 pelajar Orang Asli cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM telah diberikan pengiktirafan.

Berdasarkan prestasi semasa, sekolah-sekolah 100 peratus pelajar Orang Asli akan terus diberikan sokongan bagi menghasilkan pelajar cemerlang. Sehingga ini jabatan telah menyenaraikan seramai 44 pelajar Orang Asli untuk menyambung pelajaran ke MRSM.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hassan berkata kerajaan memperuntukkan belanjawan RM16 juta untuk membina 500 rumah dan menyediakan kemudahan asas di perkampungan Orang Asli di seluruh negara tahun depan.

Selain itu, katanya, peruntukan juga disediakan untuk kemudahan bekalan air ke perkampungan Orang Asli di Pahang dan Kelantan yang mengalami masalah mendapatkan bekalan air bersih. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan