Pemansuhan Akta Kediaman Terhad: Polis Akan Tingkat Kemahiran Siasatan - Ismail Omar

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantapkan lagi keupayaan dan kecekapannya termasuk mempertingkatkan kemahiran penyiasatan dan risikan, selari dengan pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pemansuhan akta tersebut merupakan cabaran yang perlu digalas oleh PDRM dalam meneruskan kesinambungan kejayaan serta mengatasi kelemahan yang ada.

Beliau berkata satu mesyuarat bersama pengarah-pengarah kanan Bukit Aman telah dijalankan bagi mengenal pasti langkah dan kaedah yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan keupayaan pegawai polis terutamanya dalam penugasan penyiasatan.

"Akta tersebut yang dimansuhkan menjadi cabaran kepada PDRM dan sejajar dengan itu kita perlu menggandakan usaha dan kemahiran kita terutamanya kemahiran risikan dan menyiasat sesuatu kes jenayah.

"Dalam mesyuarat tersebut kita bersetuju untuk mencari langkah serta kaedah proaktif bagi memperkasakan keupayaan pegawai polis terutamanya dalam penyiasatan kes-kes jenayah, jenayah komersial dan narkotik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Pengajian Bahasa Mandarin kerjasama antara PDRM, Institut Kong Zi di Malaysia bersama Universiti Malaya di Maktab PDRM Cheras di sini, Jumaat.

Kursus tersebut yang akan bermula esok dijalankan selama enam bulan melibatkan 60 pegawai dan anggota PDRM dari pelbagai jabatan.

Ismail berkata selain meningkatkan keupayaan dari segi kemahiran, pasukan itu juga akan menambah peralatan dan kelengkapan saintifik tertentu termasuk untuk tujuan forensik serta sebagainya bagi membantu pegawai polis menghadapi cabaran itu.

Katanya setakat ini beliau masih berpuas hati dengan kejayaan PDRM dalam mengekang jenayah dari sudut penyiasatan di mana peratus kes yang berjaya diselesaikan adalah tinggi untuk tahun ini dan tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakan warga polis mengambil kursus berkaitan kemahiran berkomunikasi termasuk mempelajari pelbagai bahasa, dalam memantapkan interaksi dengan masyarakat yang lebih berkesan.

Beliau berkata penguasaan bahasa tambahan termasuk Mandarin akan membolehkan anggota polis berinteraksi dengan lebih baik dengan masyarakat pelbagai kaum sekaligus memantapkan lagi sistem penyampaian PDRM.

Katanya selain itu kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain dalam perkongsian maklumat dan risikan bagi membanteras jenayah antarabangsa turut dapat dipertingkatkan apabila komunikasi menjadi lebih mudah dengan penguasaan bahasa tambahan.

"Polis juga boleh menjalankan siasatan dan pengumpulan maklumat risikan keselamatan dengan lebih berkesan sekiranya mereka mempunyai kemahiran dalam memahami sesuatu bahasa yang menjadi pertuturan biasa oleh orang ramai di luar sana.

"Malah dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bersama warga polis, beliau sendiri ada menekankan bahawa warga PDRM perlu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa utama untuk berfungsi dengan lebih berkesan," katanya.

Ismail berkata bahasa Mandarin merupakan bahasa yang paling tinggi penggunaanya dalam senarai 7,413 bahasa etnik yang direkodkan di seluruh dunia diikuti bahasa Spanish, Inggeris, Benggali dan Hindi.

"Justeru pemilihan warga polis ke kursus bahasa seperti bahasa Mandarin ini adalah bertepatan dalam aspek penguasaan bahasa tambahan selain bahasa yang paling tinggi penggunaannya, selari dengan peredaran zaman.

"Kita juga berhasrat untuk mengekalkan kursus bahasa Mandarin ini untuk masa panjang dan memberi peluang kepada lebih ramai lagi warga polis mempelajari bahasa tersebut dan mungkin pada masa akan datang, bahasa antarabangsa lain termasuk Arab dan Spanish boleh diterapkan juga," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan