Bajet 2012: Pelepasan Cukai Skim Pesaraan Swasta & Insurans

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai baru sehingga RM3,000 ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa membentangkan Belanjawan 2012 di Parlimen pada Jumaat.

Cadangan berkenaan bagi memastikan kebajikan pekerja, apabila mencapai umur persaraan dapat hidup selesa.

Kerajaan juga mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM6,000 untuk caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta. Dalam Belanjawan 2011, kerajaan juga mencadangkan supaya caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan 5.3 juta pencarum KWSP. Pada masa ini, pesara menghadapi kekurangan simpanan untuk menampung kos sara hidup mereka setelah bersara. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus menghabiskan kesemua simpanan mereka dalam masa 10 tahun selepas bersara. Sementara itu, kerajaan akan membenarkan pegawai dagang mengeluarkan caruman mereka dalam KWSP bagi pembelian rumah, sama seperti kemudahan yang disedaikan kepada warga Malaysia. Jumlah pegawai dagang di Malaysia meningkatkan kepada 41,000. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan