Terminal Kaunter Teksi Akan Dilesen Mulai Tahun Depan

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melesenkan semua terminal kaunter teksi di seluruh negara mulai tahun depan, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata pelesenan itu akan memudahkan SPAD memantau dan memastikan operasi serta perkhidmatan yang diberikan tidak membebankan pengguna dan pengusaha teksi.

"Ini termasuk sama ada menghapuskan sistem kupon atau mengurangkan kadarnya," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu) yang ingin tahu sama ada campur tangan SPAD dalam menggalakkan sistem kaunter teksi berkupon ke Johor Baharu membawa kebaikan.

Ahmad menjelaskan, perlaksanaan kaunter perkhidmatan teksi diwujudkan jika ia memberi manfaat kepada pengguna dan pemilik premis hanya mengendalikan kaunter perkhidmatan teksi sistem berkupon yang bermeter.

Beliau juga berkata SPAD tidak terlibat dalam melantik syarikat operator sistem kaunter teksi di Larkin Sentral dan Plaza Angsana di Johor Baharu, sebaliknya ia merupakan inisiatif pemilik dua premis tersebut.

Menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) sama ada SPAD akan turut memantau perkhidmatan teksi di kawasan sempadan negara dan memantau pencerobohan teksi asing, Ahmad berkata perkara itu termasuk dalam Rangka Kerja Nasional Pengangkutan Awam Darat yang sedang dimuktamadkan.

Katanya kajian secara komprehensif akan dibuat agar satu polisi yang holistik dapat dirangka, termasuk keberkesanan penggunaan meter dan kaunter teksi di seluruh negara. "Polisi ini adalah penting bagi melindungi kepentingan semua pihak terutama pengguna dan pemandu teksi," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan