Rizab Negara Kini RM414.5 Bilion

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedudukan rizab negara sehingga 15 September 2011 semakin kukuh apabila mencatat RM414.5 bilion (AS$137 bilion), kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berkata, angka tersebut meningkat 3.6 kali lebih tinggi berbanding paras rizab antarabangsa negara yang direkodkan sejak 2001 iaitu sebanyak RM113.6 bilion (AS$29.9 bilion).

Perdana Menteri berkata, paras rizab itu mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 4.7 kali hutang luar negeri jangka pendek.

"Kedudukan rizab antarabangsa dalam bentuk emas merangkumi 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rizab antarabangsa negara.

"Rizab emas ini disimpan di Bank of England, Bank Negara dan Maybank dalam bentuk jongkong, wafer dan siling Kijang Emas," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim meminta penjelasan mengenai hutang dan rizab emas negara mengikut tahun dari 2001 sehingga kini dan di mana serta dalam bentuk apa rizab emas negara dipegang.

Najib juga berkata rizab emas negara telah meningkat kepada AS$1.7 bilion pada Ogos 2011 berbanding AS$294.7 juta pada 2001.

Dalam pada itu Najib berkata, hutang luar negeri yang dicatatkan oleh Malaysia sehingga Jun tahun ini adalah sebanyak RM241.7 bilion berbanding RM173.4 bilion pada 2001.

Bagaimanapun katanya, jika dibandingkan dengan saiz ekonomi, jumlah hutang luar negeri pada akhir Jun 2011 itu adalah lebih rendah kerana ia hanya mencatatkan 29.1 peratus daripada Keluaran dalam Negera Kasar (KDNK) berbanding 49.2 peratus pada tahun 2001.

Berdasar statistik, jumlah hutang luar negara pada 2001 ialah 173.4 bilion, RM185.7 bilion (2002), RM186.7 bilion (2003), RM200.6 bilion (2004), RM197.7 bilion (2005), RM184.5 bilion (2006) dan RM187.4 bilion (2007).

Manakala RM236.3 bilion (2008), RM232.7 bilion (2009), RM227.1 bilion (2010) dan RM241.7 bilion (Jun 2011),katanya.

Najib berkata, profil hutang luar negeri Malaysia menjurus kepada tempoh matang yang panjang, dengan hutang jangka sederhana dan panjang mencakupi 62 peratus daripada jumlah hutang luar negeri.

"Manakala jumlah hutang jangka pendek telah meningkat kepada RM92.1 bilion dan mencakupi 38 peratus daripada jumlah hutang luar negeri berbanding RM24.1 bilion (14 peratus) pada 2001.

Peningkatan itu kata beliau mencerminkan aktiviti urus niaga antara bank seperti operasi perbendaharaan dan pengurusan risiko selaras dengan perkembangan pasaran kewangan negara yang kian maju. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan