LFL Desak Kerajaan Tubuh IPCMC Siasat Kes Tiga Remaja Ditembak Mati

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lawyers of Liberty (LFL) pada Khamis mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC) bagi menyelesaikan kes tiga remaja yang didakwa ditembak mati oleh polis di Glenmarie, Shah Alam pada 13 November tahun lalu.

Ketiga-tiga remaja terbabit iaitu Mohd Shamil Hafiz Shafie, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, ditembak mati pada 4.45 pagi di tempat kejadian kerana cuba menyerang polis dengan parang selepas didakwa merompak sebuah stesen minyak.

Peguam N. Surendran berkata, sehingga hari ini, polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum memberikan sebarang penjelasan konkrit berhubung hasil siasatan yang dijalankan terhadap kes ini.

"Oleh itu, kami menuntut agar IPCMC diwujudkan untuk meneruskan siasatan kerana laporan bedah siasat menunjukkan mangsa ditembak mati pada sudut 45 darjah," katanya.

Ibu kepada Mohd Shamil, Norhafizah Mat Razali, 37, mahu tindakan tegas diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam kes itu.

"Saya harap agar polis dapat melakukan siasatan dengan segera. Dah setahun saya tunggu tetapi masih belum apa-apa tindakan diambil.

"Kenapa anak saya dibunuh?Saya boleh terima kalau anak saya didakwa merompak tetapi janganlah sampai dibunuh," katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di lobi Parlimen, Khamis.

Norhafizah hadir ke Parlimen bersama Hamidah Kadir, ibu kepada Mohd Khairul Nizam dan Noriah Darus, ibu kepada Mohd Hanafi Omar bagi menyerahkan memorandum kepada pemimpin Pakatan Rakyat untuk disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya campur tangan dalam kes ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, polis sepatutnya berani bertanggungjawab dalam kes melibatkan pembunuhan sedemikian.

"Kita minta agar polis yang terlibat dikenakan tindakan segera. Laporan pakar forensik mendedahkan ketiga-tiga mangsa dipaksa melutut sebelum ditembak mati.

"Kami akan berusaha menyerahkan memorandum kepada Menteri KDN secepat mungkin bagi menuntut campur tangan beliau," tambahnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan