Rang Undang-Undang Kg Baru Dapat Sokongan Majoriti Penduduk

Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 yang dibentangkan kerajaan Isnin lalu di Parlimen, telah memenuhi kehendak dan mendapat sokongan majoriti penduduk dan pewaris tanah Kampung Baru.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata penggubalan rang undang-undang tersebut serta pindaan yang dilakukan telah mengambil kira pandangan semua penduduk dan pemilik tanah, sekaligus membolehkan ia dibentang semula dan diluluskan.

"Apabila ia diluluskan kelak, dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru diwujudkan, kita harap perbadanan ini akan bertindak sebagai penasihat kepada penduduk dan pewaris tanah dalam rancangan untuk membangunkan kawasan ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai perkara itu, di sini, Rabu.

Shamsuri berkata perkara utama yang perlu dilaksanakan adalah mencari penyelesaian berhubung 30 lot tanah di Kampung Baru yang tidak mempunyai geran, selain menyelesaikan beberapa isu pemilikan tanah.

MAS merupakan sebuah lembaga yang ditubuhkan pada 1900 oleh kerajaan British bagi mengawal dan mengurus pentadbiran Kampung Baru dan masih berfungsi sehingga kini. Isnin lalu, pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, kerajaan telah menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 dan menggantikannya dengan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011.

Pembentangan rang undang-undang baru itu adalah selepas beberapa pindaan dibuat terhadap rang undang-undang lama, antaranya termasuk mewujudkan lebih banyak wakil daripada kalangan penduduk kawasan itu sebagai anggota jawatankuasa dalam Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

Dalam sidang media sama, Pengerusi Persatuan Anak-anak Kampung Baru Datuk Seri Matshah Safuan berkata penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bukan bertujuan untuk mengganggu-gugat hak milik tanah di kawasan itu seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak.

Ia sebaliknya bertindak sebagai fasilitator kepada penduduk dan pemilik tanah dan sekaligus menjadi nilai tambah kepada proses pembangunan kawasan itu.

Yang Dipertua Persatuan Pembangunan Kampung Baru Dr Mohd Yusof Ismail pula menafikan dakwaan bahawa penggubalan rang undang-undang itu hanya dilakukan oleh kementerian berkaitan tanpa mengambil kira pandangan penduduk dan pemilik tanah.

Katanya beberapa siri mesyuarat telah dilakukan antara penduduk, pemilik tanah dan kementerian dan semua perkara yang dibangkitkan telah diambil kira dalam penggubalan rang undang-undang itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan