PM Lakukan Tinjauan Mesra Di Empat Kawasan DUN Di Selangor Sabtu Ini

Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melakukan tinjauan mesra sehari di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor Sabtu ini. Penduduk tempatan dari kawasan DUN Ijok, Kuang, Rawang dan Gombak Setia berpeluang mendekati Perdana Menteri dalam program bertemakan 'Nurani Rakyat Sayangi Selangor, Yakini BN' anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata program itu diadakan sebagai satu usaha untuk mendekati rakyat daripada semua kaum selain memahami serta menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi mereka.

"Program ini merupakan siri pertama program jelajah Perdana Menteri di Selangor untuk bertemu, mendengar masalah dan membantu rakyat.

"Kita jangkakan seramai 40,000 orang akan turut serta dalam program ini nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat mengenai tinjauan mesra Najib ke Selangor di sini, Rabu.

Najib dijadual memulakan tinjauan mesranya di lapang Ladang Tuan Mee di Ijok, Kuala Selangor sebelum ke Bandar Tasik Puteri di Kuang dan seterusnya ke Pekan Rawang. Perdana Menteri kemudian menemui penduduk di Taman Sri Gombak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan