Bajet Bayangan Pakatan Rakyat Sekadar Propaganda - Noh Omar

Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan bajet bayangan berjumlah RM220 bilion yang dibentangkan Pakatan Rakyat sebagai propaganda dan manifesto parti pembangkang untuk memerintah negara sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Menurut Noh, janji yang ditabur Pakatan Rakyat untuk memberi lebih banyak subsidi dan peruntukan kepada rakyat menunjukkan mereka tidak memahami subsidi yang disalurkan kerajaan.

"Kita dah bagi banyak... gula, beras, minyak, kerajaan dah bagi subsidi. Namun kita tidak buat promosi mengenai apa yang kita dah buat dan biarkan rakyat rasa seolah-olah tak dapat apa-apa bantuan daripada kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata, rakyat kini lebih bijak menilai tindakan pembangkang terutama dari segi pentadbiran di beberapa buah negeri di bawah pemerintahan mereka selepas memenangi PRU ke-12 pada 2008.

"Macam di Selangor dululah, nak beri macam-macam tapi akhirnya tak buat juga. Sepatutnya mereka bantulah sikit-sikit tapi tidak laksanakan apa yang dijanji dalam manifesto parti itu.

"Pembangkang perlu praktikal, baru dia tahu langit tu tinggi atau rendah. Tak mudah memerintah... yang betul-betul macam Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) pegang.

"Itu betul sebab apa yang Perdana Menteri kita cakapkan dilaksanakan dan bukan hanya sekadar teori untuk menyedapkan telinga pendengar," katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan bajet alternatif pembangkang, tiga hari lebih awal sebelum Perdana Menteri membentangkan Bajet 2012 di sini, Jumaat ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan