Dr Rais Saran Penganjuran Konvensyen Sejarah Bersama Ahli Akademik, Sejarawan

Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menyarankan penganjuran sebuah konvensyen sejarah bersama pakar akademik dan sejarawan bagi berkongsi pandangan dan fakta yang benar mengenai sejarah negara.

Katanya, memandangkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu sudah mengeluarkan kenyataan dan fakta yang mengelirukan masyarakat berhubung isu komunis yang diangkat sebagai wira negara sebelum ini, pihaknya mencadangkan agar sebuah konvensyen sejarah tanah air wajar diadakan bagi membetulkan kekeliruan yang timbul.

“Sebuah konvensyen sejarah tanah air harus kita adakan untuk membetulkan pandangan serong yang salah untuk ditatap oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, konvensyen itu boleh dijadikan medan perbincangan oleh pakar-pakar sejarah dan ahli akademik berhubung fakta-fakta sejarah yang tidak pernah tercatat dalam buku-buku sejarah sebelum ini untuk panduan umum dan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tulisan Perdana Menteri pertama itu yang diterbitan Jabatan Penerangan Malaysia bertempat di Kompleks Kraftangan, di sini, Selasa.

Buku tersebut adalah terjemahan daripada buku bahasa Inggeris iaitu Looking Back yang mengandungi 53 artikel yang pernah tersiar dalam akhbar The Star dari 16 Disember 1974 hingga 16 Ogos 1976.

Pada majlis yang sama, Dr Rais turut merasmikan portal kementerian, Portal 1KLIK yang merupakan wajah baru kepada Portal Pusat Maklumat Rakyat (PMR).

Turut hadir pada majlis adalah cucu Almarhum Tunku iaitu Tunku Muiniddin Ahmad Nerang, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin, Timbalan Ketua Setaiusaha (Penerangan) Datuk Dr Rothiah Omar, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Ibrahim Abdul Rahman dan Pengarang Pengurus Star Publications (M) Berhad June Wong Har Leng.

Ketika ditanya adakah pihak kementerian sudah menetapkan perancangan tentang konvensyen tersebut, beliau berkata, saranan berkenaan adalah tertakluk kepada sokongan dan respons daripada ahli akademik dan pakar sejarah. “Ia bergantung pada banyak pihak seperti persatuan atau profesional sejarah, pihak yang berkaitan dengan warisan dan laporan-laporan seperti wartawan dan penulis siri sejarah dan arkib negara di bawah kementerian sendiri.

“Kita boleh langsungkan konvensyen ini dalam suasana muhibah yang membawa kepada penghasilan fakta yang boleh diterima umum,” katanya sambil menolak cadangan berkenaan untuk dibawa ke peringkat kabinet kerana ia hanya berkaitan dengan dunia akademik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan