Rais Sangkal Dakwaan Sambutan Hari Merdeka Hambar

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini menafikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 baru-baru ini sebagai hambar seperti yang didakwa pembangkang.

Rais sebaliknya berkata, perayaan Hari Merdeka yang disambut serentak dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September lepas mendapat sambutan baik rakyat selain meninggalkan kesan patriotisme dan semangat kekitaan dalam kalangan mereka. "Hanya Yang Berhormat yang kata hambar, barangkali mungkin parti Yang Berhormat kurang kisah tentang perayaan Hari Merdeka atau cara Yang Berhormat melihat Hari Malaysia. "Saya katakan begitu kerana semua negeri, kecuali di Kelantan dan sedikit sebanyak di Pulau Pinang dan Selangor sahaja yang tidak menonjolkan perayaan ini. "Saya cadang Yang Berhormat melihat kembali dalam pintu hati sendiri sama ada betul atau tidak komen tersebut," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mengenai perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Rais berkata selain di tiga negeri itu, perayaan Merdeka dirai meriah dengan sebanyak 218 program berlangsung di seluruh negara, lebih 10,000 rakyat mengambil bahagian dalam acara sambutan di Dataran Merdeka dan ribuan lagi memeriahkan acara itu di peringkat negeri. "Sebagai pengerusi Jawatankuasa Sambutan Perayaan Merdeka ke-54 dan Hari Malaysia, saya menyifatkan perayaan ini berjaya dan jauh daripada hambar," tegasnya.

Kepada soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Rais berkata kerajaan bersedia mengadakan pertemuan cendekiawan sejarah dalam konteks menentukan fakta akademik sejarah dapat diperbetulkan.

Bung Moktar bertanya mengenai usaha kementerian untuk menjelaskan kekeliruan dan putar belit fakta sejarah yang sengaja dimain pembangkang untuk mengelirukan rakyat, termasuk kenyataan pembangkang yang mengangkat komunis sebagai wira. Terdahulu, menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), Rais berkata bilangan semasa keseluruhan pengguna kad perkhidmatan telefon prabayar di seluruh negara ialah 28.4 juta.

Pengguna perkhidmatan prabayar yang tidak menggunakan sepenuhnya nilai kad itu ialah 90.2 peratus dan kuantum yang tidak digunakan ialah RM71 juta, yang merupakan 0.5 peratus daripada pendapatan syarikat telekomunikasi, katanya. Menjawab soalan tambahan Idris mengenai cukai perkhidmatan telefon prabayar, beliau berkata Kementerian Kewangan akan menimbang cara terbaik untuk menyelesaikan isu itu.

Pada masa sama, Rais menggesa rakyat sebagai pengguna memberikan maklumat balas berhubung kadar caj yang dirasakan berpatutan dan jika merasa adanya ketidakadilan boleh mengemukakan butir lengkap sebagai bukti.

Jika tiada sebarang aduan dikemukakan, kerajaan mungkin bertanggapan kadar yang dikenakan sekarang diterima rakyat, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan